PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan varian baharu Covid-19, Omicron, kini dikenal pasti di 38 negara seluruh dunia.
Ketua Teknikal WHO bagi Covid-1, Maria Van Kerkhove mengesahkan, varian yang mula dikenal pasti di Afrika Selatan itu mempunyai ciri-ciri lebih cepat menular.
"Kita menyaksikan pertambahan kes, kita juga menyaksikan pertambahan kes Omicron yang dikenal pasti.
"Dan pada waktu ini, data yang kami peroleh mungkin hanya dalam tempoh beberapa jam sahaja, tetapi 38 negara didapati kenal pasti kes baharu di enam wilayah WHO dan kami menyaksikan peningkatan trend di Afrika Selatan.
"Jadi, ada data yang menyatakan ia lebih cepat merebak. Apa yang perlu kita fahami adalah, sama ada ia lebih cepat menular atau tidak berbanding Delta.
"Penting diingatkan, buat masa ini, varian Delta masih dominan di seluruh dunia. Jadi, kita perlu kenal pasti perbezaan antara Delta dan Omicron apabila kedua-duanya menular di dalam populasi pada masa yang sama.
"Jadi, akan mengambil masa beberapa hari lagi untuk mendapatkan maklumat lanjut dan kajian sedang dijalankan," katanya di Geneva pada Jumaat.
Menurut Van Kerkhove, ada laporan yang menyatakan mereka yang dijangkiti varian ini mempunyai tahap komplikasi yang berbeza, dari ringan kepada lebih tenat.
Jelasnya lagi, kes indeks bermula dari kluster kumpulan pelajar universiti yang mempamerkan gejala ringan.
Namun, katanya, mereka adalah dari golongan muda yang kebiasaannya menunjukkan simptom ringan jika dijangkiti Covid-19.
Pada masa sama, Ketua Bahagian Kecemasan, WHO Dr Michael Ryan menjelaskan, perkara itu perlu dipandang serius memandangkan varian baharu ini dilihat mempunyai kebolehjangkitan terhadap individu sihat.
"Hakikat bahawa kebanyakan kes adalah ringan, mungkin mencerminkan fakta bahawa ia merebak di kalangan orang muda yang sihat," tambahnya.- Awani