Sekolah sorok kes Covid-19 berdepan tindakan tegas: Mohd Radzi

Iklan
Mohd Radzi (dua dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian pelajar yang menerima sumbangan tablet pada majlis penyerahan pendidikan digital ‘Aeon Sayap Bagimu’ di IPG Darul Aman, pada Sabtu.

JITRA - Tindakan tegas akan dikenakan terhadap sekolah yang menyembunyikan kes positif Covid-19 daripada pengetahuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, amaran itu sebagai peringatan untuk meminimumkan penularan wabak virus itu selepas sesi persekolahan secara bersemuka kembali dilaksanakan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada sekolah yang dikesan cuba menyorokkan kes itu selain pemantauan berterusan KPM.

"KPM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika berlaku perkara itu. Pihak pengurusan sekolah perlu melaporkan segera setiap kes supaya kementerian dapat menggunakan pendekatan sesuai mengekang penularan dan langkah pencegahan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan pendidikan digital ‘Aeon Sayap Bagimu’ di Institut Pendidikan Guru (IPG) Darul Aman pada Sabtu.

Iklan

Mohd Radzi berkata, setakat ini, sebanyak 21 buah sekolah dikesan sebagai kluster pendidikan membabitkan 287 pelajar dan 179 kanak-kanak tadika swasta yang berdaftar di bawah KPM.

Tambah beliau, situasi itu terkawal jika dibandingkan dengan keseluruhan jumlah sekolah yang ada di seluruh negara iaitu melebihi 10,000.

Iklan

"Buat masa ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dapat mengawal kes dengan baik,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pihak pengurusan sekolah menekankan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat.

Mohd Radzi turut memberitahu, punca penularan kes positif Covid-19 di beberapa sekolah sedang dikenal pasti dengan kerjasama PKD di negeri terlibat.

Sehubungan itu, beliau meminta sokongan ibu bapa supaya membawa anak-anak yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Sebahagian besar pelajar telah divaksin namun masih ada yang belum sedangkan mereka layak. Gesaan ini juga termasuk kepada guru-guru yang belum mengambil suntikan vaksin,” katanya.

Menurutnya lagi, sekolah berasrama penuh lebih berisiko walaupun KPM telah menetapkan syarat ketat yang lebih terperinci.