ATLANTA - Seorang budak perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia akibat terkena tembakan daripada senjata api buatan adiknya sendiri.
Menurut Pejabat Syerif Douglas County, Georgia, Amerika Syarikat, budak lelaki berusia 13 tahun itu kini ditahan.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu membuat dan menjual apa yang dipanggil sebagai 'ghost guns'.
Difahamkan ketika kejadian, dua individu telah pergi ke rumah keluarga itu di Douglasville pada 27 November untuk membeli pistol yang dibuat oleh remaja itu.
Mereka sebaliknya cuba mencuri pistol itu dan cuba melarikan diri.
Kanak-kanak lelaki itu kemudian menembak ke arah kedua-dua mereka, sebaliknya tembakan terkena pada kakaknya yang dikenali sebagai Kyra Scott yang berada di situ.
Kyra segera dibawa ke hospital, walau bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya.
Susulan kejadian, pihak berkuasa telah menahan adik Kyra dan salah seorang individu yang mencuri senjata api daripadanya.
Pejabat sheriff dalam satu kenyataan, berkata kanak-kanak 13 tahun itu akan didakwa dengan pertuduhan jenayah.
Pihak berkuasa masih mencari seorang lagi individu yang mencuri senjata api daripada suspek.- Awani