MFFW berjaya import lebih banyak makanan Malaysia ke Eropah

Iklan
Pengunjung mencuba kulinari dan buah-buahan tropika Malaysia sempena MFFW 2021 di The Hague, Belanda baru-baru ini.

SHAH ALAM - Program Malaysia Food and Fruits Week (MFFW) anjuran Pejabat Perwakilan Pertanian Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di The Hague, Belanda berjaya menarik lebih banyak produk makanan Malaysia diimport ke rantau Eropah.

Program yang dilaksanakan bermula 25 September hingga 2 Oktober 2021 juga berjaya meningkatkan sehingga 50 peratus jumlah jualan produk makanan Malaysia secara ‘in-store’ berbanding tanpa sebarang usaha promosi.

Iklan
Iklan

Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Nadzirah Osman berkata, walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19, ia bukan penghalang untuk meneruskan usaha promosi di negara tersebut.

"Kerjasama strategik seperti ini akan dapat memastikan lebih banyak buah-buahan dan produk makanan diimport dari Malaysia.

Iklan

"Program yang dilaksanakan ini juga mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan Belanda,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

MFFW juga merupakan hasil kerjasama pasaraya Wah Nam Hong, Kedutaan Besar Malaysia di The Hague, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Tourism Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Iklan

Program tersebut bertujuan untuk mempromosikan buah-buahan tropika seperti manggis, belimbing, markisa, buah naga, nangka dan durian selain nasi lemak, serawa durian serta produk berasaskan durian.

Pengunjung juga didedahkan dengan aktiviti ‘fruit and food tasting’ dan ‘fruit cutting demonstration’.

Di antara menu yang menjadi tarikan utama adalah ‘jackfruit rendang’ yang boleh dijadikan sebagai alternatif kepada penggemar makanan vegan dan durian jenis musang king.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan MAFI, Khalid Ibrahim berkata, penggunaan media sosial melalui kehadiran orang yang berpengaruh dan blogger secara berterusan amat bertepatan dengan usaha mempromosikan makanan serta buah-buahan tropika Malaysia khususnya di rantau Eropah.

Menurut beliau, Pejabat Pertanian MAFI di The Hague juga sentiasa proaktif untuk memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kepada pihak industri yang berminat menerokai sektor pasaran pertanian di Eropah dari semasa ke semasa.

"Pejabat Perwakilan Pertanian MAFI di The Hague merupakan pejabat serantau meliputi pasaran 33 buah negara iaitu United Kingdom (UK), selain 27 negara Kesatuan Eropah, empat negara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland) serta Rusia.

"Antara fungsi pejabat ini adalah untuk memperluaskan akses pasaran; memberikan khidmat nasihat berkaitan keperluan sanitari dan fitosanitari (SPS); keperluan import dan eksport bagi produk pertanian dan mempertingkatkan kerjasama dalam bidang teknologi pertanian; serta pelaburan,” ujar beliau.