Maqam Kemala selepas Iqbal

Iklan
Kemala meninggal dunia pada usia 80 tahun.

TIDAK putus-putus khalayak mengingati Kemala yang telah kembali ke rumah abadi. Terbukti, sebagai sasterawan, al-marhum mendapat tempat di hati dan kedudukannya istimewa dalam sejarah sastera Melayu. Di sini saya juga merasa terpanggil untuk turut serta mengingatinya terutama dalam konteks hubungan dengan dunia kepengarangannya.

Berlatarkan sama dengan penulis remaja sezaman, Kemala mula menulis dalam Tunas, Belia, Hiburan Kanan-kanak dan Utusan Kanak-kanak yang kemudian berpindah ke akhbar-akhbar mingguan, lalu ke majalah Dewan Bahasa dan Dewan Sastera.

Iklan
Iklan

Kemala mendewasa pada dekad 1960 hingga 70-an sebagai pemurni puisi Asas 50, tetapi berjaya meletakkan dirinya di barisan hadapan pemuisi yang banjir di tahun1960-an itu. Antara kumpulannya ialah Timbang Terima (1970), Meditasi (1972) dan Era (1975), saya lakukan kritikan mengaplikasi formalistik dan sosiologi. Mendapati anutannya ialah realisme humanis, mementingkan nalar pemikiran sosial. Menempatkan beliau pada posisi terpenting sebagai realis.

Kaktus-Kaktus (1976) dengan aplikasi teori stilistik, hasil analisis kebahasaannya dapat dirumuskan bahawa beliau adalah seorang yang lemah lembut, tetapi berjiwa keras dan kental. Begitulah beliau senang didekati, tetapi mempunyai prinsip dan peribadi teguh. Juga keras.

Iklan

Saya masih ingat setelah menyiapkan cerpen Fakurdabakia sebuah teks absurd. Menemui Kemala yang waktu itu sebagai editor Dewan Sastera dengan ketuanya ialah Usman Awang. Keduanya bersetuju menyiarkannya. Ini merupakan sejarah kerana penembusan teks absurdisme yang berjaya mencairkan dominasi teks realisme.

Puisi adalah genre paling banyak saya dekati dan antara sekian ramai penyair di tanah air, puisi Kemalalah yang paling banyak saya analisis. Pada tahun 1978 melalui Penyair Mutakhir Malaysia yang Terbaik (Dewan Bahasa), saya telah meletakkan Muhammad Haji Salleh, Kemala dan Baha Zain sebagai penyair terbaik Malaysia.

Iklan

Dengan Ayn (1983), Kemala telah melakukan pelanggaran, anjakan besar dengan berhijrah kepada penulisan sastera Islam. Kehidupan waktu itu yang banyak ditarik oleh keperluan modenisme, banyak tentangan dan cabaran, juga tuntutan untuk seorang penulis yang masuk ke dalam dunia sastera Islam. Tidak ramai penulis yang tertarik atau ditarik menulis hal-hal yang bersangkutan dengan sastera Islam. Namun, Kemala daripada sebuah teks ke teks selanjutnya melakukan pengejapan yang menunjukkan iltizam dan istiqamahnya.

Beliau telah mengukuhkan pegangannya dengan Pelabuhan Putih (1989), diikuti oleh Titir Zikir (1995) dan Mim (1999). Saya telah diminta untuk menulis kata pengantar kumpulan Mim itu. Saya katakan, Kemala tidak memaksakan dirinya untuk bersyair secara Islam atau memaksakan Islam hadir ke dalam puisinya atau dia sendiri memaksa-maksa dirinya supaya dikenali sebagai penyair Islam; sesungguhnya Islam sudah sebati dan bersepadu dalam dirinya.

Puisinya berzauqkan kerohanian, ekspresi batiniah dan pertimbangan seorang yang mendekatkan dirinya kepada Khaliqnya. Selain bakat kepengarangan dan penguasaan teknik, Kemala menyintai pengetahuan tentang Islam terutama aspek-aspek akidah dan muamalah. Kemala bukanlah ulama, tetapi istimewanya segala fikir, zuhud dan maknawi Islami, telah tertransformasi dalam puisinya; yang menunjukkan Kemala sebenarnya banyak membaca dan menguasai ilmu-ilmu hakiki Islam.

Dilihat daripada perspektif teksdealisme sudut aspek kehadiran, beliau bijak dalam pemilihan tazkirah dan maarifat kesufiannya, yang kontekstual dengan zaman. Menunjukkan pengarangnya menekuni objeknya secara berkesan sehingga terserlah aspek sahsiah keagamaannya secara konkrit. Pengalaman cinta yang qudus, terbentuk secara sakral dan terasa lebih intens dan teguh sehingga setiap puisinya mencapai estetika yang tinggi. Daya renungan dan falsafahnya juga mempunyai nilai keindahan yang mengagumkan.

Menariknya, puisi Kemala bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baharu, malah diminati oleh sarjana dari dalam dan luar negara. Kemala juga seorang deklamator dengan gaya tersendiri dan mendapat kedudukan istimewa di kalangan khalayak termasuklah di dunia antarabangsa.

Pembentukan karyanya juga disokong oleh peribadinya yang menyintai ilmu. Dengan belajar sendiri, beliau mencapai kejayaan hingga ke peringkat tertinggi. Saya masih ingat semasa beliau menyiapkan tesis kedoktorannya, setiap minggu beliau menemui saya dengan membawa naskhah dalam bahasa Arab mengenai puisi tasawuf, tertamanya pemikiran Imam M Ghazali. Saya akan menterjemahkannya dan membentuk kerangka teori sastera Islamnya. Bersama dengan Shafie Abu Bakar dan saya, bertindak sebagai penyelianya. Kemala memperolehi ijazah kedoktorannya dengan Simbolisme dalam Puisi Islam di Malaysia.

Kejayaan besarnya ialah pada 2011, dianugerahi Sasterawan Negara. Laporannya menyatakan Kemala telah menghasilkan 11 buku kumpulan puisi, 25 antologi puisi, 10 kajian sastera, 50 esei dan kritikan sastera, empat kumpulan cerpen, lapan kumpulan antologi cerpen, empat drama dan tiga buku cerita kanak-kanak.

Menariknya, dalam sebuah kajian tesis kedoktoran, A Halim Ali telah dapat menurunkan beberapa ciri puisinya yang mampu membina sebuah teori tempatan iaitu Teori Estetika Bersepadu. Ini menunjukkan puisi Kemala sarat dengan ambisi-ambisi teoretis Islami dan memiliki konsep-konsep estetika dan falsafah ketasawufan. Tegasnya, terlihat beliau seorang penulis yang hebat dengan memiliki peribadi dan subjektiviti dalam konteks penulisan Islam.

Mengikuti perkembangannya, Kemala penuh iltizam menghasil puisi dengan zauq alma’arifah dan kesufian. Apakah kedudukan kepengarangan Islaminya? Daripada konteks ini, saya pernah memetakan Kemala adalah sinambungan tradisi penulisan Hamzah Fansuri, Amir Hamzah, Iqbal dan Kemala. Namanya dimaqamkan selepas Iqbal. Pemetaan ini menunjukkan pencapaiannya dalam konteks penulisan sastera Islam sarwajagat.

Saya telah diminta menulis kata pengantar untuk Rubaiyat Kemala dan telah saya persiapkan. Begitu juga Kemala melantik saya sebagai Ahli Lembaga Muzium Sastera Kemala di Bambangan Sandakan. Pelancaran dicadangkan pada 27 November 2021. Tetapi begitulah, manusia hanya boleh merancang ALLAH yang menentukan. Kemala telah kembali ke alam baqa.

Sesiapa yang membaca artikel ini, bacalah al-Fatihah.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia