SHAH ALAM - Pandangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap UMNO yang didakwa telah memungkiri Piagam Muafakat Nasional disifatkan sebagai tersasar.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengingatkan bahawa Muafakat Nasional tidak ditubuhkan dengan matlamat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mesti menjadi sebahagian daripadanya.
Malah katanya, salah satu sebab Muafakat Nasional itu dibidani kelahirannya adalah untuk menentang Pakatan Harapan (PH), yang mana Bersatu adalah komponen PH pada waktu itu.
"Tanpa terkurang rasa hormat saya kepada Tan Sri Presiden Pas, saya menegaskan bahawa pandangan beliau tersasar sebenarnya. UMNO tidak pernah mungkir pada Piagam Muafakat Nasional.
"Justeru, untuk memaksa UMNO menerima Bersatu adalah bercanggahan dengan semangat sebenar Muafakat Nasional itu diasaskan. Apalagi bila mengenangkan bagaimana Bersatu bersekongkol dengan DAP dalam menentang UMNO dan menumbangkan kerajaan pimpinan UMNO.
"Kedua, memang benar Muafakat Nasional itu harus memayungi semua orang Melayu. Namun, sesiapa jua yang ingin kita bawa masuk ke Muafakat Nasional mestilah serasi dengan kepentingan UMNO dan Pas. Piagam Muafakat Nasional pula mestilah ditafsirkan selari dengan realiti politik semasa UMNO dan Pas.
"Kerana itu UMNO tidak pernah mengajak PKR (Parti Keadilan Rakyat), Amanah (Parti Amanah Negara), PUTRA (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia) ataupun Pejuang (Parti Pejuang Tanahair) untuk menyertai Muafakat Nasional, walaupun mereka juga sebahagian daripada ummah yang berkepentingan. Jujurnya, kerana UMNO tidak mahu menyinggung Pas," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Mohamad, Pas dan seluruh Malaysia telah arif bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agong UMNO memutuskan bahawa UMNO tidak akan melakukan apa jua kerjasama dengan Bersatu dan UMNO terikat dengan pendirian ini.
Jadi ujarnya, amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum Pas mencadangkan keanggotaan baharu dalam Muafakat Nasional.
"Ketiga, Piagam Muafakat Nasional adalah persefahaman yang tidak mengikat. Muafakat Nasional pula tidak kita daftarkan. Sebabnya kerana UMNO mahu orang Melayu melihatnya sebagai wadah untuk semua dan bukan instrumen politik UMNO dan Pas semata-mata.
"Jadi, janganlah dek kerana UMNO tidak mahu menerima Bersatu, Muafakat Nasional itu Pas tinggalkan. Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar daripada kepentingan Bersatu menyertai Muafakat Nasional," ujarnya.
Jelas beliau, kita tidak harus melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada Muafakat Nasional.
"Semoga Tan Sri Presiden Pas akan terus bersama UMNO dalam meneroka pelbagai dimensi baharu dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu, Insya-ALLAH," katanya.