KEPALA BATAS -"Kalau boleh, buatlah selalu." Itu reaksi penduduk sekitar Parlimen Kepala Batas apabila ditanya mengenai Jualan Keluarga Malaysia yang berlangsung di sini pada Ahad.
Suri rumah, Siti Khadizah Abdullah, 64, berkata, program seperti itu wajar diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk membeli barang keperluan berikutan harga barangan keperluan semakin melonjak ketika ini.
Dia yang datang bersama suami, Jaafar Saad, 68, amat teruja apabila mengetahui jualan murah itu kerana ia merupakan salah satu langkah penjimatan dalam membeli barang keperluan harian.
"Jualan murah seperti ini amat baik. Saya berharap kalau boleh, buatlah secara berterusan. Ia amat membantu kami yang terdiri daripada golongan sederhana dan tidak berkemampuan.
"Biasanya jika saya membeli barang keperluan di pasar seperti daging, telur, ayam, beras dan minyak masak, jumlahnya dalam RM100. Tetapi hari ini hanya RM70 sahaja," katanya ketika ditemui pada program Jualan Keluarga Malaysia Parlimen Kepala Batas di pekarangan Wisma UMNO Parlimen Kepala Batas di sini pada Ahad.
Seorang lagi pengunjung, Ishak Hussin, 70, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berkata, dia datang ke jualan murah itu untuk merebut peluang membeli barang keperluan yang jauh lebih murah berbanding di pasaran.
"Saya bersyukur kerana ada jualan seperti ini. Bolehlah beli serba sedikit barang keperluan untuk isteri dan seorang anak yang masih belajar. Barang keperluan sekarang mahal. Susah bagi golongan yang tidak berapa mampu seperti kami.
"Dengan jualan seperti ini, kami yang kurang berkemampuan dapat membelinya. Saya datang hari ini untuk beli beras, minyak, tepung dan ayam," katanya yang bergantung kepada sumber pendapatan menjual ulam-ulaman.
Sementara itu, Tan Teoh Joo, 47, berkata, dengan jualan murah yang dianjurkan itu, dia mampu berjimat sehingga 20 peratus dalam perbelanjaan hariannya.
"Walaupun pembeli dihadkan membeli barangan, sekurang-kurangnya kami dapat berjimat untuk perbelanjaan keluarga. Harga yang ditawarkan amat berpatutan.
"Saya sempat beli beras dan seekor ayam dengan harga murah. Terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib rakyat yang terkesan seperti ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya akan mengadakan jualan murah itu setiap minggu sehingga harga barang kembali stabil.
Beliau yang turut hadir bagi meninjau Jualan Keluarga Malaysia itu berkata, pihaknya akan membuat penambahbaikan dari pelbagai segi termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
"Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, kita akan mengadakan jualan murah ini pada setiap minggu sehingga harga barang stabil.
"Dari segi bekalan pula, saya sudah mendapat jaminan daripada KPDNHEP Pulau Pinang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga beberapa pasar raya yang mempunyai hala tuju sama dengan kita iaitu untuk membantu rakyat," katanya.
Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, pihaknya akan menambah sekali ganda barang keperluan asas untuk minggu seterusnya bergantung kepada sambutan pada minggu ini.
"Saya akan lihat sambutan yang diterima dari program ini terlebih dahulu kemudian akan tambah satu kali ganda lagi barangan keperluan asas yang paling diinginkan oleh masyarakat.
"Hari ini, saya lihat sambutan amat memberangsangkan dan barangan yang dijual juga laris dibeli. Pengguna mendapat penjimatan antara 25 hingga 30 peratus daripada harga yang ditawarkan," katanya.
Antara bahan mentah yang dijual dengan harga yang murah menerusi jualan tersebut ialah ayam (RM5 untuk seekor), telur ayam Gred C (RM8 sepapan), beras untuk lima kilogram (RM10) serta daging lembu tempatan (RM30 sekilogram).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, harga berkenaan merupakan diskaun dan insentif yang diberikan Reezal Merican kepada penduduk Parlimen Kepala Batas.
"Terima kasih kepada beliau kerana memberi diskaun selain insentif harga barang-barang seperti telur gred C, ayam, daging, pek kombo minyak masak peket dan tepung gandum," ujarnya.