PASIR MAS - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas 70 guni dan 23 kotak pelbagai jenis mercun yang disorokkan bersama mi segera serta serbuk teh dari Thailand dalam sebuah lori di Kampung Banggol Chicha, di sini pada Sabtu.
Dalam serbuan jam 10 malam itu, PGA turut menahan dua suspek lelaki dan wanita bagi membantu siasatan berhubung rampasan barangan tersebut.
Pemangku Pegawai Pemerintah Medan, Deputi Superintendan Ramesh Krisnan berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan sepasukan anggota Batalion 7 yang membantu Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa menerusi Op Benteng Covid-19 terus ke lokasi untuk membuat serbuan.
"Semasa tiba di lokasi, anggota PGA telah melihat sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan semak. Anggota PGA menghampiri lori tersebut untuk membuat pemeriksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut beliau, semasa menghampiri lori itu PGA telah melihat seorang lelaki sedang menyusun beberapa buah kotak di bahagian belakang kenderaan tersebut sementara seorang wanita berada di tempat duduk penumpang di bahagian hadapan.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan pada bahagian belakang lori itu mendapati pelbagai jenis mercun yang disimpan dalam guni dan kotak-kotak bersama 3,240 bungkusan mi segera serta 40 kotak serbuk teh Thailand.
Ramesh berkata, keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM329,860 dan kesemua rampasan termasuk suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seskyen 4 (1) Akta Makanan 1983. Batalion 8 akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan dengan membuat pemantauan di pangkalan-pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok mulai Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor.
"Pemantauan ini bertujuan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan," katanya.