ALOR GAJAH - Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal ditunggangi melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan dalam satu kejadian di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.
Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, mangsa, Muhammad Dzulhani Nasir, 16, dari Kampung Brohol Panchor, Muar Johor maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa jenis Yamaha 135 LC tiba-tiba hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah lori jenis Nissan yang berhenti di lorong kecemasan.
Menurutnya, semasa kejadian mangsa difahamkan menunggang secara sendirian dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara.
"Maklumat yang diberikan pemandu lori terbabit, sebelum kejadian itu dia telah memberikan lampu kecemasan untuk berhenti di lorong kecemasan untuk membuang air kecil," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
A Asmadi berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.