'Tiada isu sorok minyak masak peket'

Iklan
Rak menempatkan minyak masak peket kosong di sebuah pasar raya di Puchong.

PUCHONG - Bekalan minyak masak peket terhad, tidak cukup untuk menampung permintaan tinggi pengguna antara punca barang keperluan itu sukar diperoleh di sini.

Seorang pekerja di sebuah pasar raya di Bukit Puchong memaklumkan, sebanyak 10 kotak minyak masak peket itu diterima setiap hari namun jumlah tersebut tidak mencukupi menyebabkan rak menempatkan minyak peket itu cepat kosong.

Iklan
Iklan

"Bekalan terhad menyebabkan minyak masak peket cepat habis. Kalau mahu tambah stok, barang tidak akan terus sampai dan perlu menunggu giliran.

"Tiada isu sorok bekalan, kalau ada stok terus kita susun di rak, cuma hari ini habis awal. Setiap pembeli dihadkan kepada tiga peket bagi setiap transaksi," katanya ketika tinjauan Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak peket turut diakui dalam kalangan pengguna yang menganggapnya sebagai bernasib baik jika dapat membeli keperluan itu.

Menurut seorang pekerja swasta, Ummi Nadia Darawi, 31, kesukaran mendapatkan minyak masak peket berlaku di kebanyakan pasar raya lain sekitar Puchong.

Iklan

"Saya pergi di pasar raya lain pun sama juga, tiada stok minyak masak peket. Kalau di kedai runcit pula kena tanya dengan jurujual terlebih dahulu, pasar mini pun susah nak dapat bekalan.

Rak menempatkan minyak masak peket kosong di sebuah pasar raya di Puchong.

"Mungkin masalah ini disebabkan minyak peket terhad jadi cepat habis. Saya tiada pilihan terpaksa beli minyak masak dalam botol sebagai alternatif," katanya.

Baizura Ahmad Bakhtiar, 40, yang bekerja sendiri berkata, dia terpaksa berjimat menggunakan minyak masak peket susulan kesukaran mendapatkan stok.

"Minggu lepas saya datang (pasar raya) ada stok tapi hari ini datang tak ada pula. Sebab susah dapat stok jadi kena jimat cermat.

"Biasanya saya gunakan tiga peket minyak masak untuk tempoh dua minggu. Jika tidak cukup saya beli di kedai runcit yang biasa saya kunjungi, kerana peniaga hanya jual kepada pelanggan yang biasa datang ke kedai," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, S Selvi, 45 meluahkan kebimbangan kesukaran mendapatkan minyak peket menyebabkan minyak masak botol naik harga.

"Saya biasa guna minyak masak peket tapi apabila tiada stok terpaksa beli minyak masak botol walaupun mahal.

"Saya bimbang jika masalah stok ini berlarutan akan menyebabkan isu kenaikan harga pula. Saya harap perkara ini tidak berlaku memandangkan pengguna terbeban dengan kenaikan harga sedangkan gaji kekal tidak naik-naik," katanya.