KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sangkal dilobi oleh pemerintah Indonesia supaya mahkamah menarik balik pendakwaan terhadap warga Indonesia, Siti Aisyah,27, daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.
Menurut Dr Mahathir, keputusan melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh Kim Jong-nam atau Kim Chol adalah keputusan mahkamah.
"Ini keputusan yang dibuat oleh mahkamah, dia dibicarakan dan caj ditarik balik.
"Proses itu ikut undang-undang, ada hak tarik balik caj, itu dilakukan. Saya tak tahu perincian sebab-sebabnya tapi pendakwaraya boleh tarik balik caj,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna H Laoly, dilaporkan berkata, pembebasan Siti Aisyah adalah hasil beberapa rundingan antara pemimpin Indonesia dan Malaysia, termasuk pertemua antara Presiden Indonesia, Joko Widodo dengan Dr Mahathir pada Ogos tahun lalu.
Ditanya adakah pembebasan Siti Aisyah semalam hasil rundingan tersebut.
"Saya tak dapat maklumat,” kata Dr Mahathir.
Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan warga Indonesia, Siti Aisyah, daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.