WASHINGTON - Presiden Moderna Inc Stephen Hoge memberi amaran bahawa vaksin coronavirus mungkin kurang berkesan terhadap strain baharu, Omicron.
"Adakah kita akan melihat penurunan 50 peratus dalam keberkesanan vaksin, yang bermaksud kita mungkin perlu memulakan kembali vaksin dan mengemas kininya?" lapor Sputnik memetik Hoge di siaran ABC"This Week" pada Ahad, sambil menambah bahawa"jawapan ringkasnya ialah kami belum ada data untuk memastikannya".
Hoge berkata, mungkin juga vaksin yang sedia ada akan terbukti berkesan terhadap Omicron, seperti yang berlaku dengan varian Delta dan berharap pandemik itu akan berakhir pada 2022.
Bagaimanapun,"terdapat risiko bahawa kita akan melihat penurunan dalam keberkesanan vaksin," kata ketua Moderna itu.
Strain Covid-19 Omicron dilaporkan di sekurang-kurangnya di 15 negeri AS, menurut pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS Dr Rochelle Walensky.
Walensky dalam program"This Week" ABC berkata, meskipun varian Delta terus menyumbang kepada kebanyakan kes Covid-19 di AS, strain Omicron terus merebak.
Kes pertama strain Omicron, yang muncul di Afrika Selatan pada November, dilaporkan di AS pada 1 Disember.
Pentadbiran Presiden AS Joe Biden mengatakan varian Omicron membimbangkan tetapi tidak sehingga mencemaskan. Menurut pakar Covid-19 Rumah Putih, AS berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menangani strain Omicron berbanding ketika varian coronavirus sebelumnya.- Bernama