PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) memberi 'lampu hijau' untuk membawa seorang lagi penjaga gol bagi memperkuat Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan kepada badan induk bola sepak itu selepas penjaga gol utama Selangor FC, Khairulazhan Khalid disahkan positif Covid-19.
Justeru, beliau berharap permohonan tersebut dapat segera diluluskan memandangkan skuad Harimau ketika ini hanya mempunyai dua penjaga gol - Khairul Fahmi Che Mat dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
"Kami memang bercadang untuk membawa seorang lagi penjaga gol sebab posisi itu agak kritikal kerana kita hanya ada Apek (Khairul Fahmi) dan Kalamullah.
"Kalau ikut undang-undang, saya rasa permohonan kita ini mungkin boleh diluluskan sebab tak semua orang boleh main posisi penjaga gol berbanding posisi lain.
"Jadi harap AFF dapat luluskan permohonan kami untuk tambah seorang lagi penjaga gol pada baki perlawanan akan datang," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Pada Ahad, kem negara menerima berita mengejut apabila Khairulazhan dan pemain sayap lincah Terengganu FC (TFC), Faisal Halim disahkan positif Covid-19 selepas keputusan ujian PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Jumaat lalu diperoleh.
Kedua-dua pemain itu kini diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga ke 10 hari oleh pihak berkuasa Singapurayang mana tahap kesihatan mereka akan dipantau secara harian.
Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan, masalah kecederaan yang dialami pemain yang dipanggil dalam senarai akhir skuad Harimau Malaya menyebabkan hanya 24 pemain boleh dibawa ke Singapura.
"Kita sebenarnya boleh daftarkan 30 pemain, tetapi sebab ada masalah kecederaan, jadi kita tidak boleh tambah pemain lagi kecuali penjaga gol," ujarnya.