KKM rampas produk kesihatan yang dicampur palsu

Iklan
Noor Hisham - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) merampas produk kesihatan dicampur palsu yang disyaki tidak berdaftar serta bahan mentah mengandungi racun bernilai RM1.7 juta.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata rampasan itu diperoleh hasil operasi bersepadu oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi terhadap 16 premis di sekitar ibu negara dan Selangor pada 5 Mac lepas.

Iklan
Iklan

"Antara produk yang disyaki dicemarpalsu ialah Cala Huala; Cala Plus; ATC Herbs; SBC Miracle Herbs; MR; Candy B+; Soloco; dan Catuaba.

"Selain itu, bahan mentah yang disyaki mengandungi Sibutramine iaitu ejen pelangsing dan Tadalafil iaitu bahan perangsang seks turut dirampas,” katanya.

Iklan

Dr Noor Hisham berkata bagi produk kesihatan yang tidak berdaftar, kes akan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu dan bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama.

"Bagi produk kesihatan yang dicampur palsu dengan racun berjadual, kes akan disiasat di bawah Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memberi amaran kepada sesiapa yang mempunyai stok produk itu supaya menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta kerana ia boleh menyebabkan kemudaratan terhadap kesihatan dan meningkatkan kesan sampingan kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.

"Orang awam dinasihat supaya tidak menggunakan produk campur palsu dan produk-produk yang tidak berdaftar dengan KKM.

"Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my/ atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400,” katanya. - Bernama