KUANTAN - Kerajaan Pahang telah menyalurkan bantuan hampir RM600,000 kepada pemain industri pelancongan yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, bantuan melalui Tourism Pahang itu termasuk bantuan khas kepada pemandu pelancong dan pengusaha bot pelancongan di negeri ini.
Menurutnya, seramai 522 penerima menerima manfaat bantuan tunai RM100 dan barangan bermilai RM50 dengan jumlah keseluruhan RM78,300 itu.
"Pada masa sama, Bantuan Prihatin Covid-19 turut dihulurkan kepada golongan itu dengan 450 penerima.
"Setiap penerima menerima bantuan tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM270,000," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini pada Isnin.
Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri turut membantu badan bukan kerajaan (NGO) sektor pelancongan di negeri ini.
"Sebanyak empat NGO menerima manfaat bantuan dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM80,000," katanya.
Sementara itu katanya, Pahang telah memperuntukkan RM3.64 juta untuk 25 projek penyediaan infrastruktur dan fasiliti di kawasan pelancongan tahun ini.
"Melalui peruntukan itu, fokus diberikan kepada usaha membaik pulih kemudahan yang rosak dan membina kemudahan baharu di kawasan-kawasan tarikan pelancong bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
"Bagi memastikan sektor pelancongan Pahang terus bertahan, pelbagai promosi dan publisiti melalui media sosial terus dipergiatkan," katanya.
Beliau berkata, program secara dalam talian telah dilaksanakan dengan bantuan pelbagai pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan.
"Transformasi digital serta pembinaan platform yang dibangunkan Tourism Pahang melalui kerjasama pintar Digital Travel Technology Association of Malaysia (DITTAM) telah membolehkan sektor pelancongan negeri ini terus mempromosikan produk-produk pelancongan secara virtual.
"Kerajaan negeri juga giat menyertai pameran eksposisi pelancongan domestik mahupun antarabangsa," katanya.
Mohd Sharkar berkata, selain itu kerajaan negeri juga telah meluluskan pemberian baucar pelancongan melalui aplikasi Pahang Go.
"Baucar pelancongan itu diperkenalkan sebagai bantuan berterusan bagi memastikan hotel-hotel bajet terus beroperasi dan dapat bersaing dengan hotel-hotel besar dengan harga yang lebih kompetitif.
"Kita menyediakan baucar bernilai RM20 dan RM30 dengan jumlah dipersetujui sebanyak 2,000 keping dengan nilai keseluruhan RM50,000," katanya.
Menjawab soalan Chon Siang berhubung tiket masuk ke Mini Zoo Taman Teruntum yang didakwa mahal dan membebankan pengunjung Mohd Sharkar berkata, kadar itu telah dikaji dan diteliti sebelum dikenakan kepada pengunjung bila lokasi itu dibuka tidak lama lagi.
Kadar bayaran yang dikenakan kepada pengunjung itu diputuskan selepas perbandingan dibuat dengan beberapa lokasi pelancongan lain.
Pada masa sama,ia mengambil kira kewujudan tarikan baharu, Taman Dinosour Encounter yang ada di zoo mini itu," katanya.