Isu kerakyatan: 22 Disember dengar rayuan tangguh keputusan

Iklan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Isnin menetapkan 22 Disember untuk mendengar permohonan kerajaan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung isu kerakyatan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, sementara selesai rayuan.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk S Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh itu selepas mengawalkan tarikh pendengaran permohonan tersebut daripada 18 Mac tahun depan kepada 22 Disember ini.

Iklan
Iklan

Hakim Yaacob yang mengetuai panel hakim itu berkata, mahkamah tidak akan membuat sebarang perintah berkaitan permohonan kerajaan untuk perintah penangguhan interim, sementara menunggu pendengaran permohonan penangguhannya oleh kerajaan.

Mahkamah sepatutnya mendengar permohonan penangguhan interim (sementara) oleh kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengekalkan status quo sementara menunggu pendengaran permohonan penangguhan mereka yang pada mulanya ditetapkan pada Mac tahun depan.

Iklan

Perayu-perayu (kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan ketua pengarah JPN) memfailkan permohonan penangguhan sementara menunggu pendengaran rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan negara ini.

Mahkamah Rayuan menetapkan 23 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan perayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan itu bersama satu lagi kes kewarganegaraan yang melibatkan seorang wanita yang dilahirkan di luar negara beribukan warganegara Malaysia.

Iklan

Pada 9 September lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan saman pemula Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing bagi membolehkan anak mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Disember tahun lepas, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk anak yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

Antara lain, mereka memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Dalam prosiding pada Isnin yang dijalankan secara dalam talian, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bing yang mewakili perayu, memberitahu mahkamah bahawa melalui sepucuk surat, ibu-ibu tersebut meminta mereka (perayu) mematuhi perintah Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, beliau menerima arahan supaya meneruskan rayuan itu kerana persoalan undang-undang melibatkan lebih daripada isu kewarganegaraan.

Horng Bing juga memberitahu mahkamah bahawa perayu tidak boleh bersetuju dengan terma yang dicadangkan oleh ibu-ibu tersebut, sambil menambah bahawa rayuan mereka akan dianggap akademik jika mereka mematuhi permintaan ibu.

Peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili persatuan dan wanita itu berkata mereka mahu menunggu kerajaan melaksanakan proses pemberian kerakyatan kepada kanak-kanak itu tetapi menegaskan bahawa kerajaan tidak bersetuju dengan syarat tertentu yang ditetapkan mereka. - Bernama