TONGGAK sayap skuad kebangsaan, Muhammad Akhyar Abdul Rashid mengakui kebanyakan pemain negara ingin membuktikan kemampuan bakat tempatan pada kempen kejuaraan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, faktor tersebut menjadi punca kepada prestasi memberangsangkan skuad Harimau Malaya yang membenam Kemboja 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Bishan.
"Untuk perlawanan petang ini kami (pemain tempatan) berikan yang terbaik sebab pemain tempatankan, jadi kami nak tunjuk apa yang kami ada,” katanya yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan pada sidang media selepas aksi itu pada Isnin.
Beliau turut berkata, perbezaan antara skuad Harimau Malaya beraksi di Piala Suzuki AFF 2020 dan skuad sebelumnya adalah jumlah pemain tempatan yang lebih dalam pasukan, menyaksikan hanya penyerang Guilherme De Paula menjadi pemain naturalisasi tunggal dalam skuad kebangsaan di Singapura.
Pada aksi pada Isnin, larian pantas dan kelincahan Muhammad Akhyar berjaya mengucar-ngacirkan kubu pertahanan Kemboja sehingga beliau dijatuhkan dalam kotak penalti, sekali gus membolehkan Muhammad Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama skuad negara pada minit ke-23.
Pemain berusia 22 tahun itu kemudian mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-61 menerusi gerakan serangan balas yang menyaksikan beliau memperdayakan dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan menewaskan Keo Soksela di gawang.
"Syukur alhamdulillah untuk persembahan pasukan dan diri sendiri, apa yang penting kami telah buat terbaik dan beri 100 peratus seperti yang dikatakan jurulatih. Separuh masa pertama kami sedikit bergelut untuk menyesuaikan diri tetapi berjaya mengatasinya di separuh masa kedua,” kata Muhammad Akhyar.
Sementara itu, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe gembira dengan prestasi keseluruhan pasukan dan corak permainan yang ditunjukkan anak buahnya walaupun pada awal permainan mereka bergelut untuk mendapatkan rentak dan perlawanan seperti yang dirancang.
"Saya fikir mereka menunjukkan permainan yang bagus dan kami memenangi perlawanan ini serta perlu meneruskan persediaan untuk perlawanan seterusnya.
"Kami ada dua hari untuk berehat dan paling penting, sebagai jurulatih saya mahu pemain kekal fokus. Ia permulaan yang baik buat kami dan pastinya, kami perlu memperbaiki beberapa perkara, masih ada banyak kekurangan yang perlu diperbaiki dan sudah tentu kami perlu bersedia menghadapi perlawanan seterusnya menentang Laos,” kata jurulatih berusia 53 tahun itu.
Malaysia akan menentang Laos pada Khamis sebelum berdepan juara bertahan Vietnam (12 Disember) dan menutup saingan kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember. - Bernama