Isu kenaikan harga barang tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Isu berkaitan kenaikan harga barang keperluan asas yang dialami rakyat ketika ini dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan itu diajukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Iklan
Iklan

Anwar ingin tahu mengenai tindakan segera dan langkah efektif bagi jangka pendek, sederhana dan panjang yang akan diambil Majlis Tindakan Kos Sara Hidup dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

Pada sesi sama, Perdana Menteri turut diminta menyatakan tindakan diambil kerajaan agar umat Islam di negara ini tidak tertinggal dalam menyahut hasrat Gagasan Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada 23 Oktober lepas.

Iklan

Soalan itu diajukan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) yang turut ingin tahu sama ada gagasan itu membantu usahawan Muslim yang terkesan akibat Covid-19 dalam tempoh 100 hari.

Selain itu, Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) bertanya kepada Menteri Perpaduan Negara mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka bagi sambutan Hari Thaipusam pada 18 Januari 2022 supaya pihak kuil terlibat serta penganut Hindu boleh membuat persediaan awal untuk sambutan perayaan itu.

Iklan

Turut dijangka menjadi tumpuan pada sesi soal jawab, adalah soalan sama ada kerajaan berhasrat memberikan kuasa pendakwaan kepada penguat kuasa seperti Jabatan Alam Sekitar supaya tindakan dapat terus diambil terhadap pihak yang mencemari sungai dan udara.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) memohon penjelasan berhubung langkah kerajaan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah khususnya golongan B40, namun dalam masa sama mengurangkan kebergantungan secara langsung terhadap bantuan tunai semata-mata.

Selesai sesi itu, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Disember ini. - Bernama