IPOH - Syria Care menampilkan kelainan dalam usaha mengumpul dana bagi mengisi Tabung Bantuan Musim Sejuk 9.0 dengan menganjurkan Perlawanan Amal Ragbi.
Pengurus Besar SyriaCare, Muaz Abd Muien berkata, perlawanan dengan kerjasama Torpedo Sports Wear, Bunga Raya Old Boys dan Ragbi Online itu diadakan sebagai tanda solidariti terhadap bencana kemanusiaan yang berlaku di Syria sejak sedekad lalu.
Menurutnya, acara amal itu merupakan sebahagian inisiatif yang dilaksanakan Syria Care dalam usaha untuk mencapai sasaran dana sebanyak RM1.5 juta untuk dimanfaatkan 100,000 pelarian Syria.
"Kita sangat berbangga dapat bekerjasama dengan komuniti ragbi di negara ini kerana mereka sangat menyokong kempen yang sedang kita laksanakan ini. Malah setiap pasukan ragbi mengumpulkan dana sendiri untuk disumbangkan kepada kita bagi membantu misi kemanusiaan ini.
"Walaupun acara ini julung kali diadakan, sambutan yang diterima sangat luar biasa. Mereka bukan sahaja mahu bersukan tetapi berjiwa besar untuk terlibat dalam aktiviti kebajikan,” katanya kepada Sinar Harian ketika Perlawanan Amal Ragbi di antara Bunga Raya Old Boys dengan Ipoh Lions di Stadium Ragbi Perak di sini pada Ahad.
Muaz berkata, sebanyak 11 pasukan veteran dan tiga pasukan Sukma Wanita dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang selain pasukan Bunga Raya Old Boys serta Ipoh Lions yang menyertai kejohanan tersebut.
Menurutnya, selain perlawanan amal tersebut, Syria Care turut menganjurkan larian maya Run4Life pada November lalu yang merupakan sebahagian program kesedaran With You yang berkonsepkan sukan dan riadah.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak dilancarkan pada 1 Oktober lalu sehingga kini, sebanyak RM650,000 telah berjaya dikumpul bagi Tabung Bantuan Musim Sejuk 9.0 dan sebahagiannya sudah pun digunakan untuk membeli keperluan musim sejuk di Syria antaranya set pakaian musim sejuk, pek makanan dan bahan bakar.
Menurutnya, kutipan tabung bantuan itu dijadual berakhir pada 31 Januari 2022 dan dijangka sasaran dana tersebut mampu dicapai dalam tempoh berkenaan.
"Sumbangan yang diterima bukan sahaja dari rakyat Malaysia, tetapi turut mendapat perhatian penyumbang dari Singapura, Brunei dan Indonesia yang prihatin terhadap nasib penduduk di Syria.
"Kita masih mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai bagi menjayakan misi dana Bantuan Musim Sejuk 9.0 agar lebih ramai pelarian Syria dapat dibantu,” katanya.
Sementara itu, Muaz berkata, Syria Care juga menyediakan pelbagai program di bawah projek penajaan anak yatim bagi membantu mereka yang telah kehilangan tempat untuk bergantung.
Katanya, bermula November lalu, Syria Care menjalankan program-program seperti Raikan Kasih Sayang #RM20 je iaitu sumbangan RM20 untuk membantu anak yatim yang tidak ada penaja.
Jelas beliau, Syria Care juga mengadakan kempen ‘Get-A-Gang’ yang membolehkan penyumbang berpakat dengan kawan-kawan atau ahli keluarga untuk berkongsi duit dan menaja anak yatim.
Menurutnya, sehingga kini, seramai 600 anak yatim Syria telah ditaja oleh rakyat Malaysia yang diselia rakan kerjasama Syria Care.