PENGENDALI Everton, Rafael Benitez yakin mampu untuk membantu Everton kembali ke laluan sebenar selepas pengarah bola sepak The Toffees, Marcel Brand meninggalkan kelab tersebut.
Jurulatih berbangsa Sepanyol itu berjaya menamatkan kemarau kemenangan lapan perlawanan Everton apabila menumpaskan Arsenal 2-1 pada Isnin.
Menurut Benitez, ketiadaan Brand memberikannya kelebihan untuk bebas melakukan apa yang dimahukan demi mendapatkan keputusan positif untuk Everton.
"Realitinya ialah kelab tidak berkembang pada kadar yang mungkin semua orang jangkakan dan kini adalah sangat penting untuk bersikap positif tentang masa depan
"Saya bekerja selama bertahun-tahun dengan pengarah bola sepak. Ia bukan satu isu. Sekarang kita perlu memikirkan masa depan dan mempunyai situasi di mana seseorang itu mesti bertanggungjawab atas apa yang dilakukan.
"Dengan pengalaman yang dimiliki oleh saya dan staf lain di kelab ini, saya fikir kami boleh membimbing Everton ke arah yang betul," katanya.
Pada perlawanan tersebut, Arsenal mendahului permainan menerusi Martin Odegaard namun Richarlison memastikan jaringan ketiganya diterima sebelum Demarai Gray meledak gol kemenangan Everton pada masa kecederaan.
Bagaimanapun kemenangan Everton itu hadir tanpa tonggak pertahanan Lucas Digne yang digantikan dengan Ben Godfrey manakala pertahanan Yerry Mina terpaksa dibawa keluar pada perlawanan itu.
Benitez berasa lega Mina hanya mengalami kecederaan di bahagian peha berbanding masalah hamstring yang memaksa pemain Colombia itu terlepas perlawanan selama dua bulan.
"Kadangkala kita perlu buat keputusan yang terbaik seperti saya memainkan Godfrey berbanding Digne.
"Godfrey bermain dengan baik dan saya sangat suka dengan persembahan yang dia tampilkan.
"Apa yang penting ketika ini ialah untuk memastikan pasukan beraksi dengan baik dan dapat keputusan yang positif," katanya