DUNGUN - Tidak tergambar rasa hiba di hati apabila isteri kesayangannya pergi buat selama-lamanya.
Lebih menyedihkan, pemergian isterinya dalam tidur, saat dia sendiri tidak tahu puncanya.
Mazlan Omar, 35 yang bekerja sebagai penolong jurutera terkaku apabila isteri yang disangka tidur rupa-rupanya meninggal dunia dalam kejadian di Kuarters Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kampung Nibong, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa, Siti Hasinah Mohamed Zafuan, 25, yang bertugas sebagai pembantu pengajar pintar al-Quran di sebuah tadika perpaduan tidur di ruang tamu didapati kaku dan tidak bergerak ketika dikejutkan suaminya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, suami mangsa ada mencuba memberikan rawatan kecemasan ekoran mangsa tidak sedarkan diri, namun tiada respon daripada mangsa.
"Suami mangsa kemudiannya segera menghubungi pasukan perubatan Klinik Alur Tembesu, Dungun sebelum pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
"Susulan laporan polis yang diterima, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun bergegas ke lokasi kejadian pada jam 8.40 pagi," katanya.
Mohamad Zohan berkata, pemeriksaan lanjut terhadap mangsa tidak menemui sebarang kesan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Tasik Kubu, Pengkalan Berangan, Marang sebelum ini pernah mendapatkan rawatan kerana penyakit tekanan darah rendah di Hospital Hulu Terengganu.