ALOR SETAR - Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan sahaja mampu melahirkan bilangan pekerja mahir yang terlatih namun mampu mencipta pekerjaan sendiri berbekalkan kemahiran yang dimiliki.
Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion dalam Bajet 2022 untuk memperkasa bidang tersebut dilihat mampu memastikan bidang teknikal negara kekal mampan dan berdaya saing.
Menurut Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura Universiti Utara Malaysia (UUM-ITS), Dr Kamarul Azman Khamis, Pendekatan TVET ini sudah lama berkembang di Barat dan Timur melalui Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
"IR4.0 juga semakin hangat di perkatakan dan dunia pula semakin mencabar. Pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini yang memperuntukkan dana besar dalam Bajet 2022 amatlah baik dan banyak membantu golongan pendidikan ke arah kemahiran ataupun vokasional.
"Mereka yang tergolong dalam jurusan TVET kebiasaannya gemar mencuba sesuatu yang baharu seperti bertukang dan menggunakan peralatan mesin TVET bagi meningkatkan kemahiran diri dan memupuk keinginan ke arah pembaharuan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ismail Sabri pada Sabtu yang melihat bidang teknikal kekal relevan dan terus berkembang luas selari dengan IR4.0.
Perdana Menteri berkata, bidang ini sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik. Hakikatnya, stigma itu sudah lapuk kerana graduan program TVET kian mendapat perhatian majikan.
Menurut Kamarul Azman, melalui eksperimen yang dijalankan, mereka dapat melihat keupayaan pelajar TVET yang boleh menghasilkan sesuatu produk baharu yang lebih baik.
"Menceburi bidang TVET secara tidak langsung melatih diri untuk berdikari dalam melakukan sesuatu perkara baharu. Pelbagai ilmu kemahiran dimiliki turut mendorong golongan ini untuk menceburi bidang keusahawanan selepas tamat program yang diceburi," ujarnya.
Tambah beliau, dalam fasa dunia yang semakin mencabar akibat pandemik Covid-19, negara telah mengalami defisit mahupun kekangan ekonomi yang merudum malahan satu dunia merasai bahangnya.
"Pendekatan TVET ini juga dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar untuk lebih berdaya saing dan mendapat tempat dalam kalangan industri khususnya.
"Sudah sampai masanya TVET diperkenalkan secara menyeluruh di semua universiti di negara ini selain membuat MOU bersama negara-negara industri untuk bertukar kepakaran dan teknologi dalam membangunkan ekonomi sesebuah negara," katanya.