SKUAD Muay Thai Perak menyasarkan dua pingat gangsa pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2021 yang diadakan di Stadium Nasional, di sini bermula Isnin hingga 11 Disember ini.
Ketua jurulatihnya, Bernard Radin berkata, lima atlet termasuk dua atlet Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN), Mohammad Rifdean Masdor dan Nur Amisha Azril Rizal menyertai kejohanan yang disertai lebih 1,000 atlet dari 91 negara.
Iklan
Iklan
Mohammad Rifdean adalah pemenang pingat perak pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2019 dalam kategori 48 kilogram manakala Nur Amisha adalah pemenang pingat emas edisi 2016.
"Kesemua atlet telah berlatih bersungguh-sungguh. Namun begitu, atlet dari Eropah mempunyai kelebihan kerana sudah bertanding di pelbagai kejohanan berbanding atlet Malaysia yang tidak menyertai sebarang pertandingan hampir dua tahun sejak pandemik,” katanya pada Selasa.
Malaysia menghantar atlet Muay Thai berusia 10 hingga 30 tahun dalam pelbagai kategori - Senior, Bawah 23 dan Remaja pada kejohanan yang pertama kali diadakan sejak pandemik Covid-19 menular di seluruh dunia. - Bernama
Artikel Berkaitan