'Saya tak tinggal, buang anak'

Iklan
Gambar Roshasniza bersama kedua-dua anaknya.(Gambar kecil: Gambar yang tular bersama rakaman suara seorang wanita mendakwa kanak-kanak lelaki ditinggalkan di sebuah stesen minyak)

KOTA BHARU -"Itu anak saya, saya tak tinggal, saya tak buang.” Itu keluhan seorang ibu tunggal yang kesal selepas gambar anak lelakinya yang berusia 3 tahun tular kerana didakwa ditinggalkan olehnya di sebuah stesen minyak di Melor, di sini, petang semalam.

Wanita berkenaan, Roshasniza Tuan Anuar Zani, 30, dari Kampung Padang Raja, Melor, turut menangis teresak-esak kerana menerima kecaman dari netizen yang melemparkan pelbagai tuduhan atas salah faham yang berlaku membabitkan anak bongsu daripada dua beradik itu.

Iklan
Iklan

Menceritakan semula kejadian itu, Roshasniza berkata, kira-kira jam 3 petang semalam, dia meninggalkan Mohd Atiq Haikal Aliff Fatihie kepada bekas majikannya yang dipanggil Pak Din berusia lingkungan 40-an kerana mempunyai urusan luar.

"Masa saya keluar dari rumah tu, anak saya sedang tidur dan ada Pak Din yang menjaganya, tetapi selepas itu, saya diberitahu dia terjaga serta menangis mencari saya.

Iklan

"Pak Din kemudian cuba memujuk dan membawa dia ke stesen minyak milik saudaranya yang tidak jauh dari rumah. Pak Din hanya tinggalkan sekejap di tempat gula-gula kapas di stesen minyak itu kerana dia mahu ke tandas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, tadi.

Menurutnya, Mohd Atiq Haikal kemudian dibawa masuk ke dalam stesen minyak oleh pekerja stesen minyak itu dan ketika itulah berlakunya salah faham sehingga ada pihak yang mendakwa anaknya itu ditinggalkannya.

"Saya sebenarnya sudah bercerai dengan suami tahun lepas dan Mohd Atiq Haikal tinggal dengan bapa bersama neneknya. Manakala anak sulung perempuan berusia 9 tahun pula tinggal bersama ibu saya,” katanya.

Iklan

Roshasniza berkata, dia terkejut apabila menyedari gambar anaknya tular sejak semalam di aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook dengan dakwaan dia meninggalkan anak itu.

"Ibu mana yang tak sayang anak, saya malu, saya sedih, orang tuduh saya macam-macam, tapi itu saya tidak kisah lagi. Paling saya lebih dan takut, kalau tak dapat jumpa anak lagi selepas ini,” katanya sambil teresak-esak.

Sementara itu, penyelia stesen minyak terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz turut mengakui insiden itu satu salah faham dan berharap masyarakat tidak terus menghukum ibu kanak-kanak itu.

"Saya cam ibu kanak-kanak ini kerana biasa datang ke kedai stesen ini dan saya juga yang bawa budak itu masuk ke dalam kedai kerana tidak mahu jadi tumpuan orang ramai.

"Tiba-tiba tular cerita yang tidak benar dan saya harap masyarakat tidak terus mengecam ibunya,” katanya.