KUALA LUMPUR - Keputusan mengenai nasib Datuk Ali Biju di dalam parti Bersatu masih dalam perbincangan, selepas Naib Presiden Bersatu Sarawak itu membuat keputusan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 atas tiket Bebas.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan memberitahu bahawa kenyataan rasmi berkenaan perkara itu dijangka dikeluarkan parti pada petang Selasa.
Sebelum ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa parti itu tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak pada 18 Disember ini, dan susulan tindakan Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu untuk tetap bertanding, menimbulkan teka-teki mengenai tindakan yang akan diambil oleh parti terhadapnya.
Ali yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada Isnin, sah bertanding sebagai calon Bebas dalam usaha mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Ahli Parlimen Saratok berusia 53 tahun itu memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016. - Bernama
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my