MESKIPUN turun dengan ketiadaan beberapa tonggak utama pada kejohanan Piala Suzuki AFF 2020, skuad Harimau Malaya masih mahu memberikan aksi yang terbaik sekaligus mampu ke perlawanan akhir kejohanan dwi tahunan itu.
Menurut pemain tengah negara, Syafiq Ahmad, apa yang penting ketika ini, pasukan perlu mengekalkan momentum kemenangan yang dimiliki ketika berdepan Kemboja selain perlu memperbaiki komunikasi antara pemain untuk menghasilkan keputusan positif pada setiap perlawanan.
"Walaupun perlawanan semalam agak struggle tapi pemain saya lihat sudah dapat keyakinan berbanding sebelum ini.
"Apa yang penting saya harap kita dapat kekalkan momentum dan perlu ada komunikasi yang baik antara pemain di atas padang untuk dapat keputusan yang baik pada perlawanan selepas ini,” katanya dalam sidang media yang dilakukan secara dalam talian pada Rabu.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bishan semalam, skuad negara berjaya mendapatkan jaringan pertama hasil sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-23 diikuti Akhyar Rashid pada minit ke-61.
pemain gantian R Kogileswaran berjaya Malaysia selesa pada minit ke 78 selepas berjaya menyumbat masuk hantaran Luqman Hakim Shamsudin, sebelum Kemboja meraih gol saguhati di hujung permainan menerusi sepakan penalti.
Dalam pada itu pemain sayap negara, Akhyar Rashid mengakui anugerah pemain terbaik perlawanan yang dimenanginya pada perlawanan pertama kumpulan B sedikit sebanyak memberi semangat untuk dirinya beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya.
"Meskipun bergelut untuk mendapatkan rentak permainan pada babak pertama tetapi kami memperagakan aksi lebih kemas selepas rehat.
"Anugerah ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya menunjukkan aksi yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya," katanya.