Pengaruh Aidil Sharin, reputasi Hijau Kuning gamit Khairu Azrin

Iklan
Khairu Azrin - Foto: Penang FC

PEMAIN tengah berpengalaman, Khairu Azrin Khazali akui sukar menolak tawaran untuk menyertai skuad Hijau Kuning pada musim 2022 selepas minat mendalam ditunjukkan ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak dan reputasi besar kelab tersebut dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Dua faktor itu membuatkan dia yakin keputusan bersama Kedah adalah tepat dan berharap kariernya akan terus bersinar selepas berjaya melalui dua musim yang penuh cemerlang di Penang FC.

Iklan
Iklan

Biarpun sedar dia perlu bersaing dengan ramai pemain lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, pemain berusia 31 tahun menganggap itu adalah lumrah dalam mana-mana karier pemain bola sepak profesional.

"Sebenarnya Kedah sudah lama menyatakan hasrat untuk mendapatkan saya melalui kesungguhan serta minat yang ditunjukkan jurulatih mereka, Aidil.

Iklan

"Melihatkan caranya yang begitu serius mahukan saya bersama Kedah nyata membuatkan saya terbuka hati dan pada masa sama, saya amat hormati Kedah yang merupakan sebuah pasukan punyai nama besar serta reputasi tersendiri dalam Liga-M.

"Setelah fikirkan masak-masak, barulah saya buat keputusan untuk bersama Kedah dan harap saya akan memperoleh banyak pengalaman baharu di sana.

Iklan

"Saya sedar perlu bersaing dengan ramai pemain lain seperti Fadzrul Danel dan Asnan Ahmad tetapi itu adalah adat dalam dunia bola sepak profesional,” katanya.

Selain Khairu Azrin, Kedah juga menyambar tiga lagi pemain lain Penang iaitu Amer Azahar, Al Hafiz Harun dan Azmeer Aris bagi saingan musim 2022.

Khairu sebelum ini banyak mencipta nama di PKNS FC dari 2011 hingga 2015 sebelum melalui pasang surut dalam kariernya apabila menyertai Melaka, Felda United FC, Terengganu FC dan Penang.

Beraksi selaku pemain tengah di posisi 6 selama dua musim, Khairu Azrin sememangnya menjadi nadi utama yang membantu kestabilan bahagian pertahanan Penang.

Setelah membantu Penang muncul juara Liga Premier pada musim 2020, Penang berjaya menamatkan cabaran di tangga ketiga Liga Super namun prestasi di saingan Piala Malaysia 2021 sedikit mengecewakan apabila tersingkir di peringkat kumpulan.

Dalam pada itu, Khairu memberikan penghargaan kepada pengurusan Penang yang telah memberikannya ruang membina semula karier selepas lalui detik yang suram semasa di Terengganu FC.

"Segala jasa Penang tidak akan dilupakan kerana di sinilah saya rasa karier ini kembali naik dan ramai mula dapat melihat semula kemampuan saya.

"Dua musim yang istimewa di Penang yang saya tidak lupakan selain penyokong-penyokongnya yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan,” katanya.