Carilah rezeki yang halal, bukan dengan cara yang salah

Iklan
Gambar hiasan -Foto 123rf

SETIAP malam, Merak Jalanan akan menggunakan laluan yang sama untuk pulang ke rumah.

Perkara yang sering menarik perhatian Merak Jalanan ialah kelibat trak penunda kenderaan yang akan menunggu di tepi jalan berhampiran Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) menghala ke Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Iklan
Iklan

Lebih menarik, kenderaan tersebut yang selalunya digunakan untuk membawa kenderaan rosak itu akan menunggu di laluan berkenaan terutama pada waktu hujan.

Turut kelihatan beberapa lelaki akan duduk di atas tembok sambil bersembang-sembang dan menghisap rokok dalam hujan renyai itu.

Iklan

Mereka seolah-olah menanti ada kejadian akan berlaku di situ.

Selalunya, memang di situlah tempat sering berlaku kemalangan. Selekoh yang telah banyak mendatangkan kesusahan kepada pengguna jalan raya.

Iklan

Bagi yang sering menggunakan laluan berkenaan, kebanyakannya akan memperlahankan kenderaan dan memandu dengan berhati-hati.

Namun bagi pemandu yang tidak tahu, selekoh tersebut memang cukup mengujakan untuk melakukan aksi ala-ala filem Fast And Furious.

Bagaimanapun, bagi penarik kereta yang sering ‘bersidai’ di situ atau nama popular mereka iaitu ‘longkai’, ia adalah satu rezeki.

Cuma Merak Jalanan amat berharap ‘rezeki’ yang mereka dapat itu janganlah ‘rezeki’ dengan cara yang salah.

Saban malam Merak Jalanan berfikir perkara yang sama, bimbang ‘longkai’ itu melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kemalangan berlaku. Seperti mencurah minyak di atas jalan tersebut.

Jadi Merak Jalanan amat berharaplah agar pihak polis atau pihak yang menjaga lebuh raya berkenaan boleh melakukan rondaan lebih kerap di kawasan tersebut supaya tiada sebarang perbuatan jenayah dilakukan.

Kepada para pengguna jalan berkenaan, sentiasalah berhati-hati.