KEHADIRAN semula pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disifatkan sebagai satu perkembangan sihat dalam persiapan sukan berprestasi tinggi itu meraih kilauan pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.
Malah menurut legenda badminton negara, Roslin Hashim, pemenang pingat perak edisi Rio 2016 itu bersama badan induk merupakan juga peluang terbaik untuk pemain dari Pulau Pinang tersebut melakukan penampilan kali ketiga di temasya sukan terbesar dunia tersebut.
"Peng Soon biarpun sudah berusia 33 tahun sebenarnya kudratnya masih boleh menyumbang sesuatu untuk negara seperti dibuktikan ketika bergandingan dengan Liu Ying dalam beberapa kejuaraan sebelum ini.
"Kecergasan Peng Soon sebenarnya masih berada tahap terbaik selagi tidak mengalami kecederaan serius, ini penting kerana sekiranya dia mengalami kecederaan serius pada usia sebegini adalah sukar untuk pulih dengan segera.
"Saya kata sebegini disebabkan kita setakat ini belum mendengar lagi Peng Soon mengalami kecederaan serius cuma pasangannya Liu Ying yang mengalami kecederaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
BAM sebelum ini mengesahkan Peng Soon akan menyertai kem skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara awal Januari depan dalam misi memperkuatkan cabaran negara di Paris 2024 dan membangunkan pelapis muda negara.
Menurut Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, persatuan telah mencapai keputusan untuk menyerap pemain berusia 33 tahun itu dengan objektif untuk mengukuhkan jabatan beregu campuran dan melaksanakan peranan mentor bagi skuad remaja negara selepas perbincangan menyeluruh
"Kami gembira dapat menambah pemain pengalaman dan kelayakannya kepada pasukan kebangsaan kami. Dalam permohonannya, beliau telah menyatakan hasratnya untuk berjuang untuk Paris 2024 dan menyatakan keazamannya untuk turut berkhidmat sebagai mentor kepada pasukan muda kami.
"Adalah menjadi harapan kami bahawa dia akan dapat berkongsi kekayaan pengalamannya dengan pemain muda kami dan kami tidak ragu-ragu bahawa kualitinya akan melengkapkan banyak bakat muda yang kami ada di ABM,” kata Mohamad Norza.
Pada masa sama Roslin menyarankan supaya Peng Soon untuk lebih memilih kejuaraan yang ditandingi selepas ini bagi memastikan tahap prestasinya sentiasa berada pada tahap terbaik sebelum ke Paris 2024.
"Pemilihan kejuaraan juga penting selepas ini kerana bagi membolehkan beliau cepat recovery selepas menyertai sesuatu pertandingan tidak seperti yang dilalui pada kalender musim ini yang terlalu padat.
"Sebaiknya Peng Soon tidak lagi menyertai kejuaraan back to back lagi selepas ini yang sememangnya akan menjejaskan conditionnya sebaliknya memilih kejuaraan berintensiti tinggi yang akan mengekalkan tahap prestasinya.
"Jadi untuk itu, Peng Soon seharusnya lebih memilih kejuaraan selepas ini pendek kata perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan,” katanya.
Pada satu sudut lain kehadiran Peng Soon juga menurut Roslin merupakan penyuntik semangat kepada jabatan beregu campuran negara kerana sebelum ini dia dan Goh Liu Ying merupakan satu-satunya gandingan yang menghadirkan kilauan perak.
"Aura Peng Soon-Liu Ying ini sebenarnya masih kuat dalam menyuntik semangat kepada para pemain beregu campuran muda negara apatah lagi berstatus pemenang pingat perak di Rio 2016.
"Sejujurnya pengalaman Peng Soon akan menjadi pembakar semangat dan panduan untuk pelapis muda seperti Hoo Pang Ron-Cheah Yee See (ranking 23 dunia) dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei (ranking 39) meraih slot ke Paris 2024.
"Saya percaya dengan pendekatan yang betul dalam tempoh dua tahun ini, kedua-dua pasangan muda negara ini mampu memberi impak kepada kem beregu campuran,” katanya.