Terkuburkah karier politik Bossku?

Iklan
Najib Tun Razak

SEPERTI diketahui, hari ini menjadi detik cukup getir bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana keputusan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) bakal dimuktamadkan Mahkamah Rayuan.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, rayuan Najib atau lebih popular dengan gelaran Bossku akan diputuskan Mahkamah Rayuan pada jam 9 pagi Rabu.

Iklan
Iklan

Ia akan diputuskan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

ARTIKEL BERKAITAN:Keputusan rayuan kes SRC Najib dibaca menerusi Zoom

Iklan

Dalam prosiding terakhir pada 18 Mei iaitu hampir tujuh bulan lalu, Najib mengemukakan 307 alasan dirinya tidak patut didapati bersalah terhadap kesemua tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC.

Oleh itu, keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan sekali gus bakal menentukan hayat karier politik Najib sama ada akan terkubur atau sebaliknya.

Iklan

Ia kerana jika Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Najib perlu menjalani hukuman.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Oktober tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi kes penyalahgunaan kedudukan.

Pun begitu, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Sekiranya sabitan itu kekal dan hukuman berjalan, secara automatik status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan juga akan terlucut.

Di bawah Perkara 48 Perlembagaan Malaysia, seseorang individu akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atau lebih, atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.

Menjelang keputusan mahkamah itu juga, anak-anak perempuan Najib, Nooryana Najwa pada petang Selasa berkongsi hantaran media sosial meminta agar orang ramai mendoakan agar bapanya itu diberi kekuatan dan keadilan.

"Sebagai hamba ALLAH SWT kita hanya mampu merancang dan mendoakan yang terbaik.

Berdepan dengan pelbagai ujian tetapi kekal tenang, percaya dan yakin dengan kebenaran.

Kebenaran di dunia dan di akhirat.

"Doakan agar Daddy diberikan kekuatan menghadapi semua ujian dan cabaran ini dan semoga keputusan esok memberikan keadilan kepadanya," katanya dalam hantaran di Instagram.

Dalam pada itu, peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla berkata, Najib masih mempunyai satu 'talian hayat' iaitu Mahkamah Persekutuan sekiranya Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas beliau.

Mahkamah Persekutuan juga boleh menjadi pilihan seterusnya untuk pasukan pendakwa raya jika Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan bersalah iaitu hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dibuat Mahkamah Tinggi itu.

Menurut Haniff, dari segi perundangan jika Najib didapati bersalah untuk satu atau semua tuduhannya maka perlaksanaan hukuman bergantung kepada budi bicara Hakim Mahkamah Rayuan.

Pastinya keputusan rayuan Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu akan turut mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa serta ditunggu penuh debaran oleh pengikut beliau.

Sama-sama kita nantikan keputusan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN:Mahkamah Persekutuan ‘talian hayat’ terakhir

ARTIKEL BERKAITAN:Najib gagal hadir, mahkamah beri pilihan penjara atau zoom

ARTIKEL BERKAITAN:Permohonan Najib hanya lambatkan keputusan rayuan: Pendakwaan