Cubaan curi balak bernilai RM80,000 gagal

Iklan
Sebahagian 63 balak jenis meranti yang cuba pindahkan tanpa lesen di hutan Simpan Ulu Jelai.

LIPIS- Cubaan sekumpulan sindiket untuk memindahkan sebanyak 63 balak jenis meranti bernilai lebih RM80,000 di Hutan Simpan Hulu Jelai, tidak kesampaian.

Perbuatan tersebut berjaya dihidu Unit Penguatkuasa (UPK) Pahang Barat, Jabatan Perhutanan negeri, petang semalam, sekaligus membongkar aktiviti balak secara haram di negeri ini.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin bagaimanapun berkata, tiada sebarang tangkapan dibuat kerana anggota sindiket dipercayai mendapat maklumat lebih awal berhubung kehadiran anggotanya ke kawasan terbabit.

"Kegiatan ini dilakukan oleh individu berpengalaman kerana dapat menentukan aktiviti itu berjalan dengan baik.

Iklan

"Malah, anggota sindiket dipercayai menggunakan khidmat pemberi maklumat atau tonto yang mengawal laluan masuk ke kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai yang turut terdapat bekas melombong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merampas tiga jentera iaitu jengkaut, jentolak dan lori yang digunakan untuk memindahkan balak selepas aktiviti menebang dilakukan.

Iklan

Lori yang digunakan untuk memindah balak tanpa lesen di Hutan Simpan Ulu Jelai.

Jelasnya, semua barangan rampasan kini ditempatkan di stor rampasan jabatan sebelum tindakan seterusnya dilakukan.

Dalam pada itu, Mohd Hizamri memberitahu, kejayaan petang semalam hasil aktiviti rondaan dan pemantauan yang dilakukan secara berterusan di kawasan panas di daerah terbabit.

Beliau menambah, operasi akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan menjalankan rondaan secara berjadual di seluruh negeri ini dengan menumpukan kawasan panas.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan individu atau sindiket yang terbabit dengan kegiatan menceroboh dan memindahkan hasil hutan simpan tanpa kelulusan kerana ia akan merugikan kepada kerajaan negeri dan jabatan.

"Saya berharap semua pihak yang mengetahui kegiatan berkenaan dapat segera berhubung dengan pejabat hutan daerah atau Unit Penguatkuasa Pahang Barat atau Timur, tindakan segera akan dilakukan," katanya.