TANAH MERAH - Lebih 35 peniaga di Jalan Sultan Ismail Petra, di sini menuntut pampasan setimpal setelah mereka hilang punca pendapatan selepas projek persimpangan bertingkat dilaksanakan di bandar ini sejak dua tahun lalu.
Ada juga peniaga yang mendakwa susur jalan kawasan bangunan perniagaan mereka diceroboh namun sehingga kini tidak mendapat sebarang respons.
Wakil peniaga, Mohd Yusof Ramli, berkata, pihaknya mahu menuntut keadilan terhadap kerugian yang ditanggung.
"Kita tidak tolak sepenuhnya pembangunan, tapi pembangunan itu biar adil kepada peniaga yang berniaga lebih 10 tahun dan tindakan yang dilakukan seperti menutup periuk nasi kami.
"Dari segi bayaran pampasan sudah cukup jelas ia tidak masuk akal, ada peniaga di sini ditawar bawah RM10,000 dan kurang dari itu dan ia langsung tidak dapat menampung proses baik pulih kedai dan kerugian kami," katanya ketika ditemui media di sini, semalam.
Projek itu dibina sejauh 1.1km melintasi bandar berkenaan termasuk lintasan kereta api melibatkan kos RM153 juta bermula pada 2017 dan dijangka siap pada Ogos ini.
Mat Yusof berkata, tawaran pampasan tersebut dicaj tidak termasuk hak milik tanah berikutan rata-rata peniaga di kawasan itu menjalankan perniagaan di atas premis sendiri.
"Lagipun tawaran yang dibuat tidak masuk akal dan jika kami terpaksa berpindah pun, kami perlu modal yang besar dan mencari tapak niaga yang strategik untuk meneruskan perniagaan kami.
"Hal ini sudah pun dibawa kepada pihak atasan termasuk membuat laporan polis dan berharap ada keputusan yang adil kepada kami untuk berniaga bagi menyara keluarga," katanya.
Sementara itu, peniaga kedai makan, Maslizani Aziz berkata, dia antara yang terkesan kerana terpaksa tanggung kerugian semasa dan selepas pembinaan projek terbabit dilaksanakan.
"Ketika projek dilaksanakan, pihak kontraktor pasang penghadang jalan sementara dan sebagainya, laluan di hadapan kedai saya jadi sempit dan pelanggan yang keluar masuk kedai terhad, akhirnya pelanggan akan mencari kedai lain.
"Lagipun ia memberi kesan kepada kami peniaga dan jika pembayaran pampasan dan proses bayaran pengambilan tanah selesai dengan amaun yang setimpal maka barulah projek itu boleh dijalankan semula," katanya.
Sementara itu, pengusaha bengkel, Kooh Tiong Huat berkata, perniagaannya juga terjejas ekoran keadaan kedainya yang tidak dikunjungi selepas pelaksanaan projek itu.
"Hendak dapatkan RM100 pun susah untuk sehari, kalau dahulu RM3,000 hingga RM4,000 sebulan. Memang sakit namun inilah realiti," katanya.