Cemerlang lepasi sasaran 100 Hari

Iklan
Bantuan, insentif dan pembiayaan MAFI telah mencapai seramai 70,446 penerima dengan peratus pencapaian 140 peratus.

80,000 golongan sasar terima manfaat daripada program KPI MAFI

PUTRAJAYA- Meniti 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus cemerlang apabila melepasi sasaran dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

Dalam merealisasikan pelaksanaan AKM 100 hari ini, pelbagai usaha telah dijalankan bagi mencapai tiga sasaran utama yang ditetapkan iaitu Program Meningkatkan Taraf Hidup Kumpulan Sasar dalam pemberian bantuan, insentif dan pembiayaan; Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dan Program Smart Card Keluarga Peladang (Peladang-i).

Iklan
Iklan

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tiga program utama itu telah diangkat oleh MAFI bagi memenuhi teras menstrukturkan semula ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan sosial.

Iklan

Menurutnya, perancangan itu memberi keutamaan kepada program yang benar-benar memberikan kesan dan impak besar kepada rakyat.

Iklan

"MAFI meletakkan kemakmuran dan kebajikan golongan sasar sebagai faktor utama semasa merencana KPI-KPI utama kementerian. Sukacita saya umumkan, lebih 80,000 golongan sasar telah menerima manfaat dari program KPI MAFI ini.

"Semangat 100 hari ini akan terus dijadikan asas untuk terus menyantuni kehendak golongan sasar. MAFI akan terus meletakkan kemakmuran golongan sasar sebagai keutamaan bagi memperkukuh sektor agromakanan negara, sekali gus memastikan sistem makanan negara kekal utuh sepanjang masa bagi Keluarga Malaysia,” jelasnya sewaktu ditemu bual dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

Program bantuan dan insentif

Penyampaian Bakul Mafi Prihatin kepada nelayan.

Program Meningkatkan Taraf Hidup Kumpulan Sasar dalam pemberian bantuan, insentif dan pembiayaan, MAFI telah mencapai seramai 70,446 penerima dengan peratus pencapaian 140 peratus.

Pencapaian ini kata Ronald, banyak disumbangkan di bawah program MAFI Prihatin dan usaha tetap diteruskan oleh semua jabatan dan agensi bagi memastikan beban kumpulan sasar dapat diringankan, dalam masa yang sama membantu mempromosikan produk keluaran petani dan usahawan tempatan.

Terdapat keseluruhan 11 program bantuan dan insentif yang dilaksanakan di bawah AKM iaitu Program Elaun Sara Hidup (ESH), Rezeki Tani, Rezeki Ternak, Program Insentif Logistik serta Pemasaran di bawah Industri Nanas dan Pemodenan Vessel Perikanan (Zon A dan Zon B).

Selain itu, Pengembangan Akuakultur, Peningkatan Pendapatan Golongan Petani B40 di PPK, Projek Ladang e-Satelit, Penjana Agrobank, Dana Pembiayaan Agromakan dan MAFI Prihatin turut dilaksanakan di semua jabatan dan agensi.

"Program Elaun Sara Hidup Nelayan ini misalnya, dilaksanakan di bawah peruntukan khas Insentif Hasil Tangkapan Nelayan (IHTN) sebanyak RM140.5 juta yang melibatkan pembayaran elaun sara hidup, pembayaran insentif tangkapan ikan dan juga bencana.

"Bagi tahun 2021, pemberian ESHN adalah pada kadar RM300 sebulan yang diberikan kepada pemilik vessel perikanan dan pekerja (awak-awak) yang layak serta didaftarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF),” katanya.

Program Rezeki Tani pula adalah program pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan yang diselaraskan oleh Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani (IMAT) MAFI, yang mana pelaksanaannya menerusi bajet pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan kos projek sebanyak RM10 juta bagi tempoh lima tahun (2021-2025).

Manakala Program Rezeki Ternak bertujuan untuk membantu meningkatkan penternak kecil atau golongan B40 dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM30 juta di bawah RMK12.

Sementara Program Insentif Logistik dan Pemasaran di bawah Industri Nanas pula dilaksanakan di bawah Peruntukan Program Pre Prihatin yang diterima oleh LPNM (Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia) berjumlah RM13 juta bagi tempoh 2 tahun (2020 - 2021).

"MAFI melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) juga melaksanakan Pemodenan Vessel Perikanan, yang mana meliputi dua pinjaman bagi pemodenan vessel perikanan untuk Zon A dan B dengan kadar faedah 3 peratus dengan pinjaman selama 10 tahun.

"Pemodenan vessel iaitu menambah baik vessel lama kepada baharu dengan memberi bantuan peralatan mekanisasi vessel seperti alat pukat tunda, enjin, sampan dan sebagainya adalah sehingga RM5 juta untuk pemodenan vessel, manakala untuk pinjaman mekanisasi vessel sehingga RM500,000.

"DOF juga melaksanakan Program Pengembangan Akuakultur, yang mana konsep bantuan adalah Geran Padanan 30:70 (30 peratus pengusaha atau syarikat dan 70 peratus kerajaan) dengan bantuan maksimum sebanyak RM 20,000,” jelasnya.

Ujar beliau, kerajaan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) juga memperkenalkan Program Peningkatan Pendapatan Golongan B40 melalui Projek Tanaman Kontan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM13.2 juta yang disalurkan secara berfasa kepada golongan B40 menerusi Pertubuhan Peladang (PP).

Program MAFI Prihatin yang dilaksanakan bersama jabatan dan agensi bertujuan meringankan beban penerima yang terjejas.

LPP juga telah memperkenalkan Projek Ladang E-Satelit yang menawarkan geran padanan 70:30 dengan nilai maksimum sehingga RM30,000 bagi setiap Pertubuhan Peladang atau ahli dan usahawan peladang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM10 juta.

"Selain itu, Agrobank telah melaksanakan Dana Pembiayaan Penjana dalam menyediakan bantuan kewangan dalam sektor agropertanian melalui usaha sama di antara MAFI dan Agrobank. Kadar pembiayaan kepada pelanggan adalah 3.5 peratus dengan nilai pembiayaan sebanyak RM1,000 hingga RM50,000 untuk tempoh maksimum sehingga lima tahun.

"Agrobank juga menyediakan Dana Pembiayaan Agromakanan dengan objektif untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara dan mengurangkan import makanan dari negara luar, di samping menyediakan pembiayaan bagi projek-projek dalam sektor makanan pada kos yang berpatutan.

"Kadar pembiayaan kepada pelanggan adalah 3.5 peratus untuk pembiayaan sehingga RM5 juta manakala 4.75 peratus bagi pembiayaan yang melebihi RM5 juta sehingga RM10 juta,” katanya.

Selain itu jelasnya, program MAFI Prihatin yang dilaksanakan di semua jabatan dan agensi, merupakan program berbentuk sumbangan produk agromakanan dengan tujuan meringankan beban penerima sumbangan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Program ini juga dapat membantu mempromosikan produk keluaran petani dan usahawan tempatan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dan dapat meningkatkan permintaan produk agromakanan di pasaran, seterusnya menjamin pendapatan petani dan usahawan tempatan.

PROGRAM MENINGKATKAN TARAF HIDUP KUMPULAN SASAR

- Melibatkan 70,446 penerima, melebihi sasaran 50,301 penerima.
- Peruntukan RM110 juta Agrobank bagi kempen pembiayaan Dana Agromakanan.
- Sumbangan lebih RM1 juta bagi program Prihatin Peladang untuk 10,000 keluarga.
- Peruntukan RM6 juta untuk MAFI Prihatin bantu 119,023 penerima.