PASIR PUTEH - Sebuah keluarga dari Kampung Guntong, Wakaf Lanas di sini dikejutkan kehadiran 'tetamu' tidak diundang apabila seekor ular tedung selar sepanjang lima meter ditemui bersembunyi dalam longgokan kotak kasut di ruang tamu rumah pada Selasa.
Kehadiran reptilia seberat 20 kilogram (kg) itu disedari pemilik rumah berkenaan, Fareez Helmi Ibrahim, 32, selepas diberitahu oleh anak saudaranya yang melihat kelibat ular tersebut dalam longgokan kotak kasut.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.24 petang.
Menurutnya, seramai lima anggota dikejarkan ke lokasi dan mendapati ular tersebut sedang 'menyorok' di dalam timbunan kotak kasut.
"APM mengambil masa selama 10 minit untuk menangkap ular tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Nik Mohd Nor berkata, sejak November hingga awal bulan inii, APM Pasir Puteh telah menerima 77 kes berkait dengan ular masuk rumah.
"Antara jenis ular tersebut ialah tedung selar, tedung senduk, kapak dan ular sawa.
"Bagi mengelakkan haiwan berbisa ini memasuki kediaman, saya nasihatkan susun atur rumah diperkemas, teratur sebab haiwan ini suka tinggal di kawasan berselerak," katanya.