SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 di semua sekolah bawah KPM perlu menggunakan kit ujian air liur sahaja.
KPM melalui kenyataan pada Rabu memaklumkan, penggunaan kit ujian secara calitan hidung tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan melalui surat bertarikh 28 November 2021.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi memberi respon kepada gambar g tular di media sosial bertajuk ‘Di sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar’.
"Siasatan KPM mendapati gambar tersebut melibatkan ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan di sebuah sekolah di negeri Pahang.
"Secara keseluruhan, seramai 16 murid dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur.
"Bagaimanapun, demonstrasi calitan hidung turut dilaksana melibatkan empat guru dan empat murid yang dibimbing oleh dua orang Jururawat Masyarakat,” kata kenyataan pada Rabu.
Untuk makluman, pengurusan ujian kendiri Covid-19 bagi murid KPM dilaksana mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.
Pada 28 November, KPM mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 yang dibuat secara penggiliran membabitkan sekurang-kurangnya 10 peratus murid.
Tambah KPM, berdasarkan surat siaran tersebut, pelaksanaan ujian kendiri ini hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan dilakukan dengan pemantauan guru.