Pelan sandaran lebih baik atasi masalah air di Sabah

Iklan
Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU - Pelan sandaran yang lebih baik sedang disediakan bagi memastikan masalah bekalan air di Sabah tidak menyukarkan kehidupan rakyat di negeri ini, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu pada Rabu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, antara punca utama masalah bekalan air negeri ini adalah kerosakan pam di loji rawatan air akibat sampah dan pasir yang disedut dalam kuantiti yang tinggi kerap terjadi ketika bencana banjir serta hujan lebat.

Iklan
Iklan

Justeru pihaknya telah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya melaksana pelan sandaran yang lebih berkesan bagi menghadapi situasi itu serta keadaan lain termasuk menyediakan pam sandaran sekiranya berdepan situasi pam utama rosak.

"Pam ini sensitif apabila rosak bukan macam pam lori atau kereta, kena tempah dari luar negara dan ambil masa enam bulan (siapkan tempahan), manakala satu bulan lagi untuk proses penghantaran ke Sabah.

Iklan

"Jadi kita sudah minta JANS buat tempahan awal, siap sedia pam sandaran jika pam utama rosak, pastikan rancang terbaik supaya rakyat dapat bekalan air bersih walaupun kita hadapi kekangan kewangan dan sebagainya," katanya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Calvin Chong (DAP-Elopura) yang bertanya tentang situasi bekalan air di daerah Sandakan dan Sabah yang berdepan masalah kekurangan tekanan serta bekalan terputus.

Iklan

Menjawab soalan asal Hamid Awang (BN-Balung) mengenai perkembangan terkini Projek Bekalan Air Tawau Fasa 3 melibatkan reka bentuk dan pembinaan empangan air baharu, Bung Moktar berkata, sehingga 31 Oktober lepas projek itu pada tahap 6.93 peratus siap.

Beliau berkata, projek tersebut mengalami kelewatan selama 391 hari akibat beberapa faktor antaranya pekerja pakar luar negara tidak dapat masuk ke Sabah akibat prosedur operasi standard mengekang Covid-19, masalah mengambil balik tanah dan pewartaan pengambilan balik tanah.

"Projek ini dijangka siap Januari 2024... apabila siap kelak empangan ini bakal mempunyai kapasiti 30 juta meter padu air dan mampu bertahan lebih kurang empat bulan (membekal air) jika berlaku kemarau," katanya. - Bernama