KUCHING - Nor Dahlia Esapian Eyaw menafikan dirinya digugurkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok atas faktor muflis.
Beliau yang juga Ketua Wanita PKR cabang Petra Jaya jelas terkejut dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi PKR Sarawak menggantikan dirinya dengan Datuk Dr Nor Irwan Ahmad Nor sebagai calon DUN tersebut.
"Pada 3 Disember 2021, PKR mengumumkan senarai 27 calon termasuklah diri saya untuk kerusi DUN Satok menerusi sidang media.
ARTIKEL BERKAITAN:PRN Sarawak: PKR umum 27 calon
"Saya juga telah diarahkan untuk menghadirkan diri bersama pencadang dan penyokong ke Pejabat PKR Sarawak bagi tujuan pengisian, semakan dan pengemaskinian borang calon serta dokumentasi melibatkan proses pencalonan.
"Namun sehingga pagi hari penamaan bertarikh 6 Disember 2021 saya tidak menerima apa jua pemakluman notis atau surat rasmi secara bertulis mahupun secara lisan dengan jelas berkaitan dengan pengguguran saya sebagai calon," katanya ketika sidang media di Kuching pada Rabu.
Justeru Nor Dahlia menjelaskan ketidakhadirannya pada hari penamaan calon disebabkan tidak diberikan Watikah Pelantikan Calon.
"Saya seorang yang bersih, merdeka dan bebas daripada apa jua sabitan jenayah dan kebankrapan yang menjadi syarat asas utama sebagai calon dalam pilihan raya seperti yang telah ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.
"Saya tidak dibeli dan tidak terkait dengan apa jua sebarang masalah dan isu dengan pihak agensi termasuklah insolvensi, mahkamah, PDRM mahupun Lembaga Hasil Dalam Negeri," jelasnya.
Biarpun tiada penjelasan rasmi daripada pihak pimpinan tertinggi PKR, Nor Dahlia masih berpegang teguh dengan semangat PKR dan berharap penjelasan rasmi akan dikeluarkan secepat mungkin.
Bagaimana pun, beliau tidak menafikan akan terdapat undi protes daripada jentera pasukan memandangkan rasa tidak puas hati turut dirasai mereka.
Nor Dahlia sendiri turut tidak akan turun padang membantu calon Satok Datuk Dr Nor Irwan Ahmad Nor sepanjang tempoh berkempen.
"Saya telah bergerak bersama jentera pasukan saya khususnya di kawasan Satok dan Petra Jaya, dan tidak dinafikan saya bersama jentera pasukan merasakan amat terkilan dengan cara pengurusan parti ke atas perkara ini," ujarnya. - Awani
Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my