Maggi berjaya cungkil bakat 5 chef junior

Iklan
Muhammad Faaris menghasilkan video masakan menu udang sos padang.
Muhammad Faaris menghasilkan video masakan menu udang sos padang.
Pelajar tingkatan tiga, Rafidah Fitri Hamidzol, tidak menyangka menjadi johan dalam Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi (MSSCC) 2021.

Dia mempertaruhkan resipi nenek iaitu menu nasi ulam dan sate lilit ikan tilapia sebagai inspirasi untuk menyertai pertandingan anjuran jenama makanan terkenal, Maggi.

Iklan
Iklan

"Menu ini dipilih kerana ia menggunakan bahan-bahan yang ada di kawasan rumah sahaja. Saya guna kiub pati ikan bilis sebagai pengganti belacan dalam nasi ulam ini.

"Kiub ayam untuk beri kelainan dalam penyediaan sate lilit ikan talapia. Paling menarik, saya olah mi Maggi yang dikisar halus menggantikan tepung untuk adunan sate lilit ikan tilapia ini,” ujarnya.

Iklan
Pemenang utama MSSCC 2021, Rafidah menyediakan nasi ulam dan sate lilit ikan tilapia.

Kata Rafidah, penyertaannya hanya sekadar mencuba kerana mahu mencari pengalaman baharu dan menambah ilmu masakan.

Iklan

"Cikgu saya menggalakkan saya untuk menyertai pertandingan MSSCC 2021. Saya bersyukur dan gembira, tak sangka menang johan di peringkat kebangsaan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, Perlis ini.

Pelajar berusia 15 tahun itu bercadang untuk membuka kafe di kawasan rumahnya pada masa akan datang.

Pertandingan memasak dan mencipta resipi oleh Maggi ini diadakan secara maya buat pertama kalinya dalam pandemic Covid-19, dan mampu menerima lebih 1,000 penyertaan dari 350 sekolah di seluruh negara.

Ia melibatkan peserta rata-rata berumur antara 13 hingga 15 tahun yang dikehendaki menyediakan resipi unik dan sihat.

Sementara itu, gurunya, Norhafiza Mohd Aziz berpendapat, pemakanan yang sihat perlu dididik sejak awal supaya generasi akan datang bijak memilih makanan yang baik.

"Maggi mengetengahkan konsep suku suku separuh dan ia merupakan pendidikan yang bermanfaat kepada pelajar.

”Terdapat banyak program masakan di media sosial. Program ini merupakan salah satu platfrom kepada mereka untuk memilih kerjaya mereka pada masa akan datang,” katanya.

Program MSSCC 2021 anjuran Nestle (Malaysia) Berhad ini bertemakan ‘Anda & Maggi, Sajikan Kelainan Untuk Inspirasi Harian’ akhirnya berjaya memilih lima pemenang berbakat di peringkat kebangsaan.

Memasak dari kecil

Muhammad Faaris menghasilkan video masakan menu udang sos padang.
Lain pula kisah naib johan, Muhammad Faaris Salihin Mohd Firdaus. Bermula daripada tanggungjawab, kini memasak menjadi hobinya.

"Saya mula memasak sejak sekolah rendah selepas ibu meninggal dunia. Memasak pada asalnya tanggungjawab dan akhirnya menjadi satu keseronokan buat saya.

"Saya akan bangun tidur seawal jam 6 pagi dan akan bersiap untuk ke sekolah. Saya akan siapkan sarapan seperti nasi goreng dan lauk yang boleh adik-adik saya bawa untuk makan.

"Memasak adalah hobi saya. Saya dapat mendapat sokongan penuh ayah dan guru-guru,” ujar pelajar 13 tahun dari Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya ini.

Muhammad Faaris menjadikan menu udang sos padang sebagai makanan sihat yang lengkap dengan nutrisi dalam satu hidangan.

Masakannya tidak menggunakan minyak tetapi keenakannya bertaraf premium, disedapkan lagi dengan tomato ceri.

Dia sangat mengagumi Cef selebriti, Gordon Ramsay yang menekankan kualiti dari semua aspek dalam makanan.

Muhammad Faaris merancang untuk menggabungkan dua bidang yang diminati seperti ‘programming’ dan masakan dengan membangunkan hub makanan sihat melalui satu aplikasi yang memberikan kemudahan kepada orang ramai menghasilkan makanan sihat daripada air tangan sendiri.

Menu simbol harapan

Mei Wei menyediakan nasi goreng pelangi sebagai simbol harapan, kegembiraan dan kejayaan.

Pemenang ketiga, Yap Mei Wei, 13, memilih hidangan nasi goreng pelangi kerana ia merupakan simbol harapan, kegembiraan dan kejayaan, terutamanya dalam budaya masyarakat Cina.

Penyertaan hanya untuk suka-suka, akhirnya membuktikan kejayaan tanpa disangka.

Mei Wei telah melayari laman web Maggi untuk mendapatkan inspirasi dalam menyediakan hidangan

"Saya mahu hidangkan makanan yang boleh membawa harapan kepada kita yang berdepan pandemik Covid-19.

"Terdapat banyak resipi sedap dalam laman web itu. Saya gabungkan konsep pelangi untuk menyediakan hidangan nasi goreng pelangi,” katanya yang merupakan pelajar SMJK Katholik, Selangor.

Dia akui teruja kerana banyak ilmu masakan yang dipelajari daripada perkongsian cef-cef.

Maggi puji peserta

Geetha Balakrishna

Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, peserta bukan sahaja menunjukkan bakat memasak yang luar biasa tetapi memilih pemakanan yang betul dengan konsep 'Pinggan Sihat Malaysia' atau 'Suku-Suku Separuh' ke arah membina tabiat pemakanan yang lebih sihat.

"Pertandingan secara maya ini membolehkan semua pelajar mengambil bahagian tanpa menjejaskan kesihatan dan keselamatan.

Cef Muluk

Cef Maggi, Muluk Ramli menyifatkan pertandingan itu selari dengan matlamat utama pihak Maggi untuk membantu pengguna menyediakan makanan yang lazat dan seimbang buat seisi keluarga.

Ia secara tidak langsung mendedahkan kepada pelajar untuk menjadikan bidang masakan sebagai salah satu kerjaya pada masa hadapan.

”Pertandingan ini dianjurkan sempena ulang tahun ke-25 Maggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Terima kasih kepada kementerian yang sentiasa memberi kerjasama setiap tahun untuk menjayakan pertandingan ini,” katanya yang ditemu bual bersama pemenang MSSCC 2021 secara dalam talian.

Program MSSCC telah memberi kesan positif kepada lebih 10,000 sekolah dan 341,000 pelajar sejak 25 tahun yang lalu.

Ini satu pencapaian buat Maggi yang konsisten menganjurkannya setiap tahun dan telah melahirkan pelajar yang kreatif dan turut mengasah bakat mereka.

Hasilkan video memasak

Cef Sharifah Hamidah

Empat modul yang dikongsikan kepada peserta di seluruh negara merupakan kelainan bagi MSSCC 2021 ditambah pula dengan penganjuran secara dalam talian.

"Menerusi semua modul yang dipelajari dan syarat-syarat penyertaan yang menguji kreativiti, peserta berjaya menyediakan resipi yang hebat-hebat dan menyukarkan penjurian,” kata Cef Maggi, Sharifah Hamidah Syed Mohsin.

Modul pertama iaitu ‘Jom Memasak Dengan Sihat’ disediakan oleh beliau sendiri bersama Pakar Pemakanan Nestle, Ven Luan.

Modul kedua, ‘Kebersihan dan Keselamatan Makanan’ oleh Cef Muluk; modul ketiga, ‘Petua Penggayaan Makanan Profesional’ oleh Cef Selebriti, Sherson Lian dan terakhir, modul ‘Membina Keyakinan Diri Anda’ daripada duta Maggi CukupRasa, Datin Paduka Eina Azman.

Semua peserta perlu mengikuti keempat-empat modul beserta kuiz yang turut disediakan.

Tahun ini, peserta perlu menghasilkan video ketika memasak, kemudian dihantar kepada pihak Maggi untuk dinilai.

Seramai 16 pelajar mara ke peringkat akhir iaitu sesi temu bual dan hanya lima terbaik dipilih sebagai pemenang.

"Pertandingan ini akan diadakan secara berterusan sebagai platform kepada generasi muda mempamerkan bakat terpendam mereka serta berkongsi ilmu melalui pelbagai modul pendidikan oleh pakar industri,” ulas Geetha.

Kenali lima pemenang Pertandingan Memasak Sekolah-sekolah Menengah MAGGI 2021 dan resipi mereka di https://www.maggi.my/ms/memupuk-generasi-muda/pertandingan-memasak-MAGGI-2021/