SEREMBAN -Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bridged Negaraku menggesa agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak diadakan dalam waktu terdekat.
Presiden Bridged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, ia bagi memberi peluang kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan sepenuhnya sehingga berjaya.
"Sekiranya PRU diadakan dalam waktu terdekat, ia akan merencatkan perancangan yang telah dibuat.
"Orang awam sudah muak dengan isu politik. Mereka lebih memikirkan tentang pembangunan ekonomi negara dan mereka sendiri," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut beliau, jika PRU berlaku dikuatiri ramai yang tidak keluar mengundi kerana sudah tidak ambil peduli ditambah lagi rasa bimbang terhadap penyebaran Covid-19.
Ujarnya, perjanjian gencatan politik juga telah termeterai sehubungan itu kesemua ahli politik perlu fokus memberikan tumpuan dalam proses pemulihan negara.
"Tibalah masa kepada ahli politik untuk membuktikan kepada rakyat apa yang mereka katakan sebelum ini bukanlah sekadar retorik. Kurangnya kepercayaan rakyat kepada pemimpin adalah satu perkara yang tidak baik dalam sesebuah negara.
"PRU yang dijalankan dalam tempoh pandemik ini pastinya melibatkan pertambahan kos bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.
"Adalah lebih baik ketika majoriti rakyat terkesan daripada aspek ekonomi dan psikologi ini, peruntukan lebihan untuk PRU ini digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.