Pas dicabar terima Amanah jika MN atas dasar penyatuan ummah

Iklan
Najmil Faiz

KUALA TERENGGANU - Pas dicabar membuktikan dasar penyatuan ummah yang diperjuangkan dengan menerima Parti Amanah Negara (Amanah) menyertai gabungan Muafakat Nasional (MN).

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, ia bertepatan dengan slogan yang sering dibawa iaitu ingin menyatukan parti berteraskan Melayu-Islam di dalam satu landasan.

Iklan
Iklan

"Nampaknya hubungan Pas dan UMNO semakin renggang dan kini kita (UMNO) pula dipersalahkan kerana tidak mahu menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam MN.

"Pas juga menetapkan pendirian mereka untuk bersama Bersatu dan UMNO perlu 'move-on' serta mempersiapkan parti untuk bertanding secara tiga penjuru.

Iklan

"Jika MN yang dimeterai sebelum ini atas dasar penyatuan ummah, saya cabar Pas untuk terima Amanah dalam gabungan ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda UMNO bahagian Kuala Terengganu berkata, MN adalah wadah penyatuan yang ditubuhkan untuk menentang Pakatan Harapan (PH) yang memegang tampuk kuasa ketika itu.

Iklan

"Adakah Pas sudah lupa ketika itu Bersatu adalah sebahagian daripada PH. Pas tidak perlu 'play victim' dengan menyalahkan UMNO sedangkan pihak yang paling berkecil hati dalam isu ini adalah UMNO. Namun, demi penyatuan kita ketepikan segala perbezaan.

"Pada pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kita lihat kuasa politik Melayu semakin lenyap dan UMNO mengetepikan segala perbezaan serta peristiwa lama untuk bekerjasama dengan Pas demi mengembalikan kuasa politik Melayu," ujarnya.

Sabtu lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menolak MN jika UMNO enggan menerima Bersatu dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai gagasan itu.

Jelasnya, ketika Muafakat Nasional ditubuhkan, piagam atau perjanjian yang dibuat menyatakan bahawa gabungan itu boleh menerima parti-parti lain termasuk Bersatu.