PASIR GUDANG - Kementerian Sumber Manusia bakal menjadikan Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu (ICLQ) di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang sebagai modul pembangunan kediaman pekerja asing di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, ICLQ yang dibina atas tanah seluas kira-kira 6.5 hektar itu merupakan yang pertama di Malaysia memenuhi Piawaian Keselamatan Penginapan Pekerja Global.
Katanya, ICLQ itu bakal memuatkan empat blok asrama membabitkan 222 unit kediaman yang boleh menampung 8,000 pekerja dalam fasa pertama yang dijangka siap pada Oktober tahun depan.
"Inilah hala tuju Kementerian Sumber Manusia dalam memastikan kediaman pekerja asing lebih memenuhi piawaian antarabangsa selain kebajikan pekerja diutamakan.
"Di ICLQ ini akan dibina kemudahan serba lengkap termasuk klinik, mesin ATM (mesin juruwang automatik), kedai gunting rambut, kedai serbaneka selain kemudahan pusat pindahan wang antarabangsa. Oleh itu pekerja asing tidak perlu keluar dari kawasan kediaman mereka.
"Inisiatif ICLQ ini juga akan memastikan pergerakan pekerja lebih terkawal, mengelakkan persekitaran penginapan padat, sempit dan kotor selain menyediakan penjagaan standard kemudahan perumahan, keselamatan dan kesihatan yang tersusun sekali gus mengelakkan penularan penyakit terutama Covid-19" katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kuarters Pekerja Berpusat Bersepadu ( ICLQ) di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini pada Rabu.
Saravanan memberitanu, setakat ini Kementerian Sumber Manusia telah meluluskan pembinaan 628 kuarters pekerja berpusat ( CLQ) di seluruh negara bagi menampung keperluan kira-kira lebih 90,256 pekerja asing.
"Selain itu sebanyak 360 CLQ bakal dibina di seluruh negara bagi memastikan kediaman lebih kondusif dan selamat dapat disediakan yang mana ia menjadi salah satu syarat yang dicadangkan dalam permohonan menggajikan tenaga kerja asing.
"Penyediaan penginapan untuk pekerja secara berpusat ini menjadi sebahagian aspirasi Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2022 dan seterusnya," katanya.