KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) serta agensi di bawah seliaannya akan membantu mempermudahkan pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas di Malaysia akibat pandemik Covic-19 bagi menjamin keselesaan hidup rakyat.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya akan memastikan PMKS yang terjejas menerima bantuan kerajaan dengan kadar segera tanpa karenah birokrasi.
"Pegawai MEDAC telah diarahkan untuk memastikan semua agensi menyegerakan penilaian permohonan dan menangani setiap aduan PMKS.
"Antara inisiatif yang dijalankan MEDAC ialah mengenepikan proses rujukan CTOS (Credit Tip Off Service Sdn Bhd) dan CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) dalam mana-mana bantuan kewangan pembiayaan daripada kerajaan,” katanya semasa merasmikan Forum CEO SME dan majlis sambutan ulang tahun Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (Samenta), di sini pada Rabu.
Noh berkata, berdasarkan kajian impak Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 oleh MEDAC tahun ini ke atas landskap usahawan di Malaysia, terdapat 37,415 perniagaan direkodkan gulung tikar dan 70 peratus daripadanya atau 26,007 merupakan usahawan mikro.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan menerusi Bajet 2022 telah memperuntukkan dana berjumlah RM14.2 bilion khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya dapat bangkit daripada kesan jangka panjang pandemik yang telah menjejaskan kesihatan awam dan struktur ekonomi.
Katanya, PKS juga perlu melihat dan berusaha merebut peluang yang disediakan kerajaan, membangunkan perniagaan dengan cara baharu, memahami gelagat pelanggan, dan memanfaatkan peluang dalam industri baharu sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk bangkit dan memulihkan kembali perniagaan mereka.
Sementara itu, Pengerusi Samenta Datuk William Ng yang turut hadir pada majlis tersebut berkata pandemik itu telah menekankan kepentingan PKS dalam menyokong ekonomi dan juga memacu pekerjaan namun dalam masa yang sama ia turut menunjukkan kerapuhan ekosistem PKS Malaysia.
"Pada 2020 sahaja, PKS telah mengalami kerugian RM40.7 bilion.
"Ketika waktu yang baik, PKS secara amnya menyokong pertumbuhan ekonomi kita. Namun ketika waktu yang sukar, PKS selalunya yang terakhir mendapat bantuan. Oleh sebab itu persatuan seperti Samenta adalah penting dan diperlukan sebagai suara bagi sektor PKS yang tidak bersatu,” katanya.
William berkata, sektor PKS kini berada pada tahap kritikal, yang mana produktiviti dan daya saing terjejas akibat pandemik dan perubahan pesat dalam teknologi dan pasaran.
"Oleh itu, pada masa depan, usaha kami adalah untuk memastikan PKS kami menerima guna pendigitalan dengan lebih pantas, beralih kepada automasi dan memahami piawaian baharu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya. - Bernama