Misi bawa pulang Malaysian Tigress

Iklan
IMBAS KEMBALI.... Skuad Hoki Projek Khas Wanita yang tidak dibenarkan beraksi di Kejuaraan Trofi Juara-juara Asia Wanita 2021 Korea Selatan susulan seorang pemainnya positif Covid-19.

SKUAD Hoki Projek Khas Wanita yang tidak dibenarkan beraksi di Kejuaraan Trofi Juara-juara Asia (ACT) Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan susulan seorang pemainnya positif Covid-19 akan dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Persekutuan Hoki Asia (AHF) untuk membawa pulang skuad The Malaysian Tigress itu lebih awal dari perancangan asal pada Isnin ini (13 Dis), sejurus selepas tamat kuarantin pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Kami mahu membawa mereka pulang segera dan kami cuba untuk mendapatkan kelulusan itu sama ada pada 11 atau 10 Disember ini. Justeru sekiranya pihak yang bertanggungjawab di Korea Selatan membenarkan pemain dan pegawai yang negatif pulang, kami akan cuba membawa mereka pulang secepat mungkin, itu tanggungjawab kita," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa keadaan pemain kebangsaan yang kini di Korea Selatan itu, berada di tahap yang baik dan sentiasa dipantau oleh pihak KHM di sana.

Iklan

Pada masa sama, Subahan turut meluahkan kebimbangan terhadap prestasi dan kesihatan mental skuad itu menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan SEA 2022, apabila terpaksa menjalani tempoh kuarantin yang lama.

"Mereka dikuarantin di sana hampir dua minggu, Malaysia pun sekarang ada prosedur operasi standard (SOP) baharu, katakanlah mereka dikuarantin dua minggu lagi. Jadi hampir sebulan mereka tidak melakukan apa-apa.

Iklan

Kami akan berbincang dengan pihak berkepentingan, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk mendapatkan nasihat pakar mereka, kemudian kami akan putuskan. Dari segi kejurulatihan dan latihan, ia akan menjejaskan prestasi mereka,” katanya.

Malaysian Tigress dikuarantin sejak 1 Disember lepas setelah Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19 ketika ujian calitan sebaik pasukan itu tiba di Donghae pada 29 November, sebelum ACT yang dijadualkan bermula dari 5 hingga 12 Disember.

Sementara itu, Subahan turut menzahirkan tahniah dan rasa puas hati barisan kepimpinan KHM terhadap pencapaian skuad negara di Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 di Bhubaneswar, India baru-baru ini yang meraih tempat kelapan daripada 16 pasukan bertanding.

"KHM akan menyerap pemain-pemain melepasi had usia 21 tahun ke skuad senior, kami mahukan kesinambungan pemain dari skuad remaja ke senior. Tujuh pemain yang masih boleh beraksi pada edisi akan datang, kita akan serap mereka ke Skuad Projek Khas Lelaki dan akan berikan pendedahan secukupnya menerusi perlawanan antarabangsa dan siri jelajah,” katanya.

Dalam pada itu, skuad senior lelaki yang akan berlepas ke ACT Lelaki di Dhaka, Bangladesh pada Ahad ini, mahu menampilkan prestasi yang terbaik demi menjaga kedudukan di ranking dunia skuad negara yang berada di tangga ke-10 dunia dengan 1,427 mata sekarang.

Pengendalinya, A Arulselvaraj berkata, pihaknya mahu menggunakan dengan baik mata ranking yang ditawarkan di kejohanan itu untuk mengejar Sepanyol di kedudukan kesembilan dengan perbezaan 105 mata dan New Zealand di tempat kelapan dengan perbezaan 171 mata. - Bernama