KUALA LUMPUR - Proses rundingan dan tawaran terhadap pemilik tanah serta penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru, Kampong Bharu di sini yang terlibat dengan pembangunan semula kawasan itu telah berlangsung sejak 2016.
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) menerusi satu kenyataan berkata, tempoh itu dianggap mencukupi buat 328 pemilik terdiri daripada 64 lot teres dan 264 unit flat terlibat untuk membuat keputusan.
Menurut kenyataan itu, pemaju telah mengadakan beberapa program penerangan dan rundingan dengan penduduk terlibat sepanjang tempoh itu dan sebanyak 67.7 peratus pemilik telah menerima tawaran.
"Sebanyak 219 pemilik iaitu 27 lot teres dan 192 unit Flat PKNS Sungai Baru telah menandatangani perjanjian usahasama manakala baki 109 pemilik (37 lot dan 72 unit flat) telah dibuat dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
"Pengambilan tanah adalah satu proses yang melibatkan perundangan dengan proses siasatan kedua bagi tujuan memuktamadkan jumlah pampasan bagi lot-lot teres masih belum dilaksanakan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
PKB menjelaskan, berdasarkan prinsip penentuan pampasan, jumlahnya berdasarkan nilai pasaran yang perlu dibayar kepada pihak berkepentingan.
"Sekiranya pemilik merasakan jumlah yang ditawarkan tidak setimpal, pemilik masih boleh mengemukakan bantahan melalui Borang N di bawah Seksyen 37, Akta Pengambilan Tanah 1960.
"Masa 42 hari diberikan kepada pemilik untuk mengemukakan bantahan terhadap jumlah pampasan itu dan bukannya tempoh pemilik keluar dari rumah," jelasnya.
Tambahnya, pemaju juga sedang dalam proses rundingan bersama pemilik unit Flat PKNS Sungai Baru bagi mencari jalan penyelesaian isu pampasan untuk memastikan proses pembangunan itu berjalan dengan adil dan harmoni.
ARTIKEL BERKAITAN: Pampasan rendah, penduduk mohon campur tangan kerajaan
Pada masa sama katanya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut mengadakan sesi libat urus bersama pemilik tanah serta Flat PKNS Sungai Baru dengan pemaju bagi menyelesaikan isu pampasan itu.
Untuk rekod, pembangunan semula Sungai Baru adalah projek kerjasama swasta antara pemilik tanah dengan pemaju, Ritzy Gloss Sdn Bhd iaitu anak syarikat Suez Capital Sdn Bhd yang telah berjaya melaksanakan pembangunan semula Rumah Pangsa 4 Tingkat di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur pada 2016.
PKB turut memaklumkan, pemaju sebelum ini menawarkan unit gantian hartanah dengan kemudahan fasiliti kondominium berserta tempat letak kereta dianggarkan bernilai RM823, 000 hingga RM1.02 juta kepada pemilik berdasarkan keluasan, jenis dan kategori tanah milik mereka yang menurunkan tandatangan persetujuan pembangunan semula Sungai Baru.
"Pemaju turut menawarkan bayaran persetujuan menandatangani perjanjian usahasama, kos pemindahan keluar rumah, kos pemindahan masuk semula ke unit gantian hartanah, ex-gratia
ubah suai rumah sedia ada, bayaran penyewaan rumah sementara atau penyediaan rumah transit sehingga unit gantian hartanah diserahkan.
"Bagi pemilik rumah teres, bayaran lebihan tunai harga unit gantian juga ditawarkan. Pemaju juga turut membantu pemilik-pemilik berkenaan bagi menyelesaikan isu harta pusaka serta penyempurnaan pindah milik hakmilik strata," tambahnya.
Pada Sabtu, sebahagian kecil penduduk Sungai Baru yang terdiri daripada mereka yang tidak menurunkan tandatangan persetujuan bagi projek itu telah berkumpul memohon kerajaan campur tangan berhubung tawaran pampasan yang diberikan ke atas mereka di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.
Sinar Harian diberitahu bahawa kadar pampasan ditawarkan kepada penduduk Flat PKNS di antara RM200, 000 hingga RM250, 000 sahaja yang dianggap rendah sekali gus telah menimbulkan kerisauan kepada pemilik rumah teres yang berkemungkinan turut diberikan pampasan tidak setimpal.