BINTANG ini suatu ketika dahulu merupakan penyanyi yang cukup popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan. Bahkan penyanyi ini pernah melahirkan beberapa buah album yang mendapat sambutan hangat.
Sungguhpun begitu, pemilik nama lengkap Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi atau nama pentasnya Elly Mazlein kini lebih kerap muncul di kaca televisyen sebagai pelakon dan pengacara.
Menyedari perkara itu, Elly, 38, sedikit pun tidak kecewa kerana bidang lain lebih menyerlahkan sisi lain dirinya.
"Saya mengakui bidang nyanyian sekarang ini agak suam-suam kuku sahaja. Tapi itu bukan alasan untuk kecewa, sebaliknya apa juga rezeki yang datang saya terima.
"Memang sekarang tawaran berlakon dan mengacara lebih banyak saya terima dan tetap bersyukur,” ujarnya tersenyum.
Elly yang ditemui pada sidang media Bintang Bersama Bintang 2019 di Sri Pentas berkata, selepas mengendalikan Anugerah Skrin (ASK2018) sebagai pengacara, tawaran sehingga ke hari ini tidak putus.
"Tak sangka pula selepas jadi pengacara di ASK2018 banyak tawaran pengacaraan yang saya terima sehinggakan ada yang terpaksa ditolak kerana kekangan masa.
"Saya sendiri tidak sangka orang nampak bakat saya sebagai pengacara dan saya sudah bersedia menerima segala kritikan serta teguran.
"Dalam masa sama saya akan berusaha memperbaiki cara pengacaraan supaya lebih baik,” jelasnya.
Selain bidang pengacaraan, Elly dalam masa sama masih lagi aktif berlakon dan ujarnya peminat suka apabila dia melakonkan watak gelap.
"Sejujurnya saya tidak memilih dan menerima apa jua watak yang diberikan. Namun selepas melakonkan karakter antagonis, semakin banyak pula tawaran watak sebegitu saya terima.
"Akan tetapi saya tidak mahu dikatakan membawa watak yang sama sahaja. Sebab itu kadangkala ada unsur jenaka sikit.
"Secara tak langsung penonton yang pada awalnya marah dan benci bila tengok watak saya berubah jadi suka, dan itulah formula yang akan saya teruskan supaya orang tidak jemu untuk tengok lakonan saya,” kata Elly.
Berbicara mengenai bakal menukar status ibu tunggal tidak lama lagi. Elly bersyukur kepada Tuhan kerana ditemukan dengan calon suami yang terbaik.
"Sekarang ini dalam fasa bunga-bunga. Saya, Sefhia dan dia sedang happy.
"Saya percaya perkara ini telah ALLAH aturkan dalam hidup.
"Saya pun sudah bercakap dengan dia... mahukan lelaki yang betul-betul bertanggungjawab.
"Nak ambil anak orang sebagai isteri kena persiapkan dari segenap segi, alhamdulillah dia sudah beli rumah," ujarnya Elly teruja.
Tambahnya lagi, dia bakal berjumpa dengan kedua orang tua lelaki pilihannya di Kelantan, Mac ini.
"Saya sudah bersedia 80%! Tunggu inai di jari sahaja. Status dia bujang lewat 20-an.
"Bulan tiga akan ke sana berjumpa dan berkenalan dengan ibu bapa dia.
"Saya juga sebenarnya sudah berjumpa dengan adik beradik dia yang ada kat Kuala Lumpur.
"Keluarga dia besar, dia anak kelapan daripada 13 orang dan saya seronok dapat menumpang kasih sayang, maklumlah keluarga saya kecil," kata Elly teruja.
Katanya lagi bakal suami seorang yang sangat menjaga solat.
"Setiap subuh dia akan call kejut untuk solat subuh. Saya teringin nak solat sama dengan suami, itulah impian saya," tambah Elly.
Dalam pada itu, Elly atau lebih mesra dipanggil Kak Lina Pom Pom, akan memberitahu dia akan sekali lagi melalui fasa bertunang.