Industri perfileman di Indonesia lebih ke hadapan: Kin Wah

Iklan
Kin Wah (kanan) ketika ditemu bual di saluran YouTube RealChunWai pada Rabu.

SHAH ALAM - Industri perfileman di Indonesia disifatkan lebih ke hadapan, bebas dan berkembang berbanding di Malaysia sehingga mampu melahirkan filem dan drama berkualiti.

Pelakon Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Chew Kin Wah berkata, pemikiran dan penerimaan rakyat Indonesia terhadap industri itu lebih terbuka berbanding di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga membuka peluang kepada pelakon berbangsa Tiong Hua sepertinya melebarkan sayap dan mencipta nama di negara jiran itu.

"Di Malaysia ada kerja, tetapi tidak banyak watak untuk pelakon senior berbangsa Tiong Hua dan juga skripnya kebanyakan untuk pelakon Melayu dan muda. Produksi drama juga memilih aktor yang ada satu juta pengikut di laman sosial.

Iklan

"Tujuh tahun saya berlakon di Indonesia, ada orang masih ingat dan menegur saya kerana lakonan saya dalam My Stupid Boss. Tetapi, di Malaysia tidak berlaku begitu. Penghargaan untuk seni di Malaysia kurang. Di Malaysia apa yang penting adalah perkara seperti sains, teknologi, matematik dan sebagainya.

"Perkara seperti keseniaan dan drama tidak menjadi keutamaan di sini," katanya dalam satu rancangan bual bicara bertajuk Panas Banget Di Indonesia yang dihoskan oleh Penasihat Kumpulan Media Star Datuk Seri Wong Chun Wai secara maya di YouTube RealChunWa, pada Rabu.

Iklan

Kin Wah mencipta nama di Indonesia melalui beberapa filem seperti Che Toko Sebelah, My Stupid Boss, filem Dimsum Murtabak, Terbang, Susah Sinyal, Surat Kecil Untuk Tuhan dan A Man Called Ahok.

Beliau juga pernah merangkul Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik melalui filem Cek Toko Sebelah pada Indonesian Box Office Movie Awards 2017 (IBOMA 2017) dan Festival Filem Tempo (FFT).

Mengulas lanjut, beliau melihat industri perfileman di negara ini kurang bebas dengan banyak filem diharamkan untuk dipertontonkan.

"Ada filem di negara ini yang tidak boleh ditayangkan kerana Lembaga Penapisan Filem mengatakan bahawa ia satu ancaman dan sebagainya. Kalau mahu haramkan, kenapa mereka tidak haramkan platform siaran Netflix? Di Netflix ada juga 'scene' atau perkataan yang tidak patut ditayangkan.

"Jadi, kita perlu ubah perkara sebegini dalam industri ini untuk melihat ia lebih maju pada masa akan datang," katanya.