GUA MUSANG - Masyarakat orang asli di Kampung Redip, Pos Hau di sini, diselubungi kebimbangan apabila kawasan kebun mereka 'diceroboh' gajah liar sejak Ahad.
Dakwa penduduk kehadiran gajah atau 'orang besar' itu menyebabkan kawasan kebun durian musang king, pisang, ubi kayu dan buah-buahan musnah dirosakkan haiwan berkenaan.
Wakil penduduk, Razali Ayeh, 46, berkata, susulan kejadian itu dia mengalami kerugian RM25,000 selepas kawasan kebun seluas 1.2 hektar miliknya diceroboh hidupan liar itu.
"Ini bukan kali pertama gajah menceroboh ke kawasan kampung kami.
"Saya bimbang jika masalah ini berterusan, kami bukan sahaja berdepan kerugian malah keselamatan nyawa juga terancam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, kehadiran gajah-gajah liar ini menjadi ancaman baharu kepada masyarakat orang asli sekali gus membuatkan mereka mulai takut untuk masuk ke kebun masing-masing.
Seorang lagi penduduk, Jumaat Arom, 53, berkata, hasil pemerhatiannya terdapat dua ekor gajah liar telah menceroboh masuk ke kawasan kampung mereka.
"Serangan gajah ini menyebabkan pendapatan penduduk terjejas kerana takut untuk keluar mencari rezeki," ujarnya.
Dalam pada itu, Semai Jackson, 53, berkata, dia merayu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan agar dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah yang dihadapi mereka.
Katanya, langkah segera ini penting bagi mengelakkan penduduk terus berdepan lebih banyak kerugian pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya sudah menerima laporan berkait dengan ancaman hidupan liar itu yang menyerang kampung berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan gajah liar yang mengganggu kawasan dan tanaman penduduk itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Betis untuk mencari sumber makanan.
"Populasi gajah liar yang mendiami kawasan hutan simpan berkenaan dianggarkan lebih daripada 20 ekor.
"Susulan daripada aduan tersebut pihak kami akan segera ke lokasi aduan bagi menjalankan pemantauan seterusnya menghalau gajah-gajah liar berkenaan," jelasnya.