Kes Covid-19 di Denmark meningkat disebabkan Omicron

Iklan
Denmark akan melaksanakan langkah-langkah bagi membendung penularan Covid-19 selepas kes varian Omicron dikesan di negara itu. - Foto AFP

COPENHAGEN - Denmark akan menutup sekolah-sekolah, menyekat kehidupan malam dan menggesa rakyat bekerja dari rumah sebagai usaha untuk membendung kes Covid-19 yang semakin meningkat, kata Perdana Menteri, Mette Frederiksen pada Rabu.

Menurutnya, cuti sekolah tersebut ditambah beberapa hari lagi berbanding jadual asal.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri berkata, rancangan kerajaan bukan untuk menyebabkan penutupan yang lama di sekolah-sekolah dan pihaknya juga mengetahui betapa pentingnya institusi itu untuk kesejahteraan kanak-kanak.

Cuti sekolah kini berlangsung dari 15 Disember hingga 5 Januari dan bukan lagi pada 17 Disember hingga 3 Januari.

Iklan

Bar dan restoran pula perlu ditutup pada tengah malam dan penjualan alkohol akan dilarang selepas waktu tersebut.

Perdana Menteri itu juga mengesyorkan agar orang ramai bekerja dari rumah.

Iklan

Dalam pada itu, Henrik Ullum iaitu ketua pihak berkuasa Denmark untuk kawalan penyakit berjangkit berkata, keadaan ketika ini sangat serius ekoran kemunculan varian baharu Covid-19, Omicron telah merebak dengan meluas ke seluruh negara.

Denmark telah mengesan 577 kes Omicron selepas kali pertama merekodkan varian itu pada 22 November lalu.

Negara itu yang mempunyai penduduk seramai 5.8 juta orang merekodkan 2,986 kematian akibat Covid-19, menurut AFP.

Pada Rabu lalu, Denmark mencatatkan 6,629 kes baharu Covid-19. - Agensi