JITRA - Waris pelajar sebuah sekolah di daerah Kubang Pasu menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memindahkan seorang guru yang tidak menerima vaksin Covid-19 bagi memastikan sesi persekolahan secara bersemuka tidak terjejas.
Waris, Mohd Hasbee Fathil, 44, berkata, dia bimbang untuk menghantar dua anaknya ke sekolah selepas mengetahui masih ada guru tidak mendapatkan suntikan vaksinasi pada minggu lepas.
Menurutnya, pihak sekolah didapati telah mengasingkan guru berkenaan di ruangan khas, bagaimanapun ia tidak dapat meningkatkan keyakinan bahawa anak-anaknya dalam keadaan selamat di sekolah.
"Walaupun guru yang tidak divaksin ini telah diasingkan daripada warga sekolah dan kedudukan dari bilik guru, namun saya masih takut kerana guru berkenaan bebas bergerak di kawasan sekolah.
"Saya sangat bimbang keselamatan dan nyawa anak di sekolah sekali gus memohon supaya tindakan sewajarnya diambil sekiranya guru ini masih enggan menerima vaksin Covid-19 tanpa alasan kukuh," katanya pada Khamis.
Mohd Hasbee ditemui pemberita selepas mengadakan demonstrasi aman dan sesi penyerahan memorandum membantah keberadaan guru yang tidak mengambil vaksin Covid-19 pada Khamis.
Mohd Hasbee berkata, mereka membuat gesaan itu supaya guru terlibat dipindahkan selain memperjuangkan hak anak-anak yang berdepan risiko penularan virus Covid-19 semata-mata.
"Kami difahamkan guru ini antara 28 guru tidak menerima vaksin Covid-19 di daerah Kubang Pasu," katanya.
Sementara itu, Mohd Huzaini Ahmad, 44, berkata, dia risau anaknya dan murid lain dalam keadaan bahaya disebabkan guru sekolah tersebut tidak menerima vaksin seperti yang disarankan.
"Kami telah berbincang berkenaan isu ini dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, namun dikhuatiri masih tidak dapat diselesaikan.
"Kami berharap guru berkenaan tidak akan bertugas lagi di sekolah ini selepas cuti sekolah panjang bermula Jumaat demi keselamatan anak-anak kami," katanya.
Sehubungan itu, katanya, mereka turut membuat laporan polis pada Rabu bagi mendesak guru berkenaan dapat ditukarkan ke tempat lain demi keselamatan anak-anak mereka ketika berada di sekolah.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad memaklumkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah menyiapkan laporan berkenaan isu ini dan akan dihantar kepada KPM.