SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meluluskan garis panduan lesen pendudukan sementara (LPS) yang menetapkan permohonan LPS di atas tanah rizab kerajaan negeri dibenarkan untuk tujuan pertanian kategori tanaman kontan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 19/2019 bertarikh 10 Jun 2019 yang telah disahkan oleh MMKN ke 20/2019 pada 24 Jun 2019.
Iklan
Iklan
Menurutnya, garis panduan LPS ini diterjemahkan melalui Pekelling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bil 4/2015 yang berkuat kuasa pemakaiannya pada 23 September 2015.
"Sehubungan itu, mereka yang berhasrat mengusahakan aktiviti pertanian terhad kepada tanaman kontan di atas tanah rizab kerajaan seperti rizab sungai, rizab jalan, rentis talian elektrik dan lain-lain tanah rizab negeri boleh mengemukakan permohonan ke pejabat tanah dan daerah yang berkenaan untuk pertimbangan selanjutnya selaras dengan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bil 4/2015," katanya.
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua berkata demikian ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini pada Khamis.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Sany Hamzan (Amanah-Taman Templer) mengenai kebenaran khas atau lesen sementara kepada mereka yang mengusahakan tanah kerajaan negeri untuk aktiviti pertanian.